Selasa, 27 November 2007

gembirakan hati mu...

Gembirakan hatimu... wahai kekasih
kerna hari ini aku telah mencintai mu...
berjalanlah di atas jalan ku...
jangan lah berjalan di belakang ku
jangan lah berjalan di hadapan ku..
tetapi berjalanlah di sisiku...
hati ini meronta...
mengadu akan kesibukkan tangan ini memetik ros merah.
terlalu banyak keindahanmu yang perlu dipuja...
kekasih ku...
gembirakan hati mu...
KETAHUILAH OLEH MU...HANYA DENGAN MENGINGATI ALLAH MAKA HATI AKAN MENJADI TENANG.

Isnin, 26 November 2007

SAM C1G1 PART 2





SISTEM C1G1 DIAKTIFKAN’

Hisyam memerhatikan skrin visual matanya itu. Perkataan itu berkelip-kelip dengan warna hijau terang. Carta penyukat tenaga dan beberapa portal lain muncul mendadak pada paparan visual matanya. Jam menunjuk ke angka digit 12:00 tengahari. Tarikh pula pada angka 17 Oktober 2015 Masihi. ‘SISTEM STABIL DAN BERSEDIA’. Perkataan kedua itu mengambil tempat, juga dengan warna yang sama.
Hisyam buka mata pelahan-lahan. Badannya terasa cukup segar dan sihat. Hatinya rasa lapang dan tenang. Sebaik sahaja kelopak matanya terbuka luas, dia merenung dan memerhati sekliling dengan teliti. Berkali-kali juga sistem tumpuan pengelihatannya digerak-gerakkan ke serata ceriuk dan objek yang wujud dihadapannya.
Ada seorang lelaki tercongok di hadapannya kemudian diikut pula oleh beberapa orang lain yang berpakaian putih. Dia mengerdipkan matanya berkali-kali.
“Selamat pagi, Hisyam!”
satu suara bergema menendang gegendang telinganya. Dia segera menganalisa suara itu. Dan hasil analisa itu mengatakan bahawa suara itu milik Prof. Ikmal. Dia segera bangun dan menghampiri lelaki itu.
METROPOLIS KUALA LUMPUR

SOLO melangkah tenang. Bumbung bangunan setinggi 30 tingkat itu cukup menyenangkannya bergerak. Dengan sut hitam istimewanya dia kelihatan hampir sama dengan langit gelap di malam yang suram itu. Langsung tidak kelihatan pergerakkannya kecuali bayang-bayangnya yang setia mengekori setiap gerakan tubuh hitamnya. Kadang-kadang kilat memancar sekilas membuatkan tubuhnya wujud dan jelas kelihatan seketika. Cuaca malam itu sedikit mendung dengan awan yang sarat dengan hujan yang bakal turun bila-bila masa sahaja. Angin malam bertiup agak kuat dan membawa bersama aroma kota yang tercemar walaupun sedikit segar.
Seluruh kawasan itu diimbas dengan Google istimewa. Setiap pergerakan yang memancarkan haba tidak terlepas dari fokus visualnya. Setiap ceruk bangunan diimbas dengan teliti dan cermat.

Bon Huat berpegang kemas pada dahan pokok yang sebesar pemeluknya itu. Nalurinya cukup tajam dalam suasana malam yang dingin itu. Di bawahnya kelihatan seorang lelaki yang berpakaian hitam dan memakai alat khas ‘pengelihatan malam’ sedang melutut dan memerhatikan kawasan sekitarnya. Di tangan kanan lelaki itu ada sebilah pisau Rambo yang digenggam kemas tetapi akhirnya pisau itu disarungkan kembali. Lelaki itu kelihatan cukup terlatih dan gerakannya cukup cermat dan teliti. Dia menajamkan pengelihatannya. Dia bukan manusia biasa. Dia mampu melihat dalam kegelapan malam. Mujurlah dulu dia anggota khas komando dalam tentera di negaranya. DNA mereka telah diubahsuai dan ditentukan oleh saintis yang bertugas di jabatan sains dan teknologi ketenteraan di ibu pejabat. Dengan kepakaran saintis-saintis cina itu mereka telah dipilih sebagai sukarelawan bagi menguji keberkesanan sejenis cecair yang kononnya dicampur dengan bahan-bahan asing yang tidak dikenali terhadap manusia.
Dan hasilnya, dua orang daripada sepuluh orang mati dalam ujian itu. Manakala, bakinya berubah dan bertukar menjadi ‘manusia mutasi’. Ada yang mendapati mereka memiliki keistimewaan tertentu selepas disuntik dengan ‘cecair’ tersebut. Ada yang memiliki kekuatan fizikal, ada mampu mendengar bunyi dari jarak jauh, ada yang mampu melompat tinggi, ada mampu mengawal objek dengan mata, ada mampu membunuh dengan percikan ludah dan dirinya sendiri memiliki kemampuan untuk melihat dalam gelap. Kalaulah seekor kucing memiliki kemampuan pengelihatan enam kali ganda berbanding manusia normal maka dia memiliki kemampuan tiga kali ganda seekor kucing yang memiliki kemampuan asal.

PLANET MARIKH

“Salkarin…”
Makhluk yang berkulit unggu kemerah-merahan itu menoleh ke arah suara tersebut. Wajah makhluk Marian itu ditatap seketika sebelum beralih ke tingkap khas dalam ruang yang serba putih itu. Tubuh makhluk itu licin dan tiada sedikitpun bulu atau rambut pada tubuh mereka. Dengan kulit yang keungguan itu mereka kelihatan seolah-olah patung berwarna unggu. Hanya pakaian mereka yag membezakan diri di antara mereka.
“Sakron…” nama itu disebut sambil menarik nafas. “Apa hal?”
“Salkarin… Saikon semakin tidak puas hati dengan cara kita. Dia mahu segala aktiviti kita dan perancangan masa depan itu didedahkan di depan umum. Dia mahu seluruh rakyat Marian tahu rancangan kita.” Makhluk yang dipanggil Sakron itu menerangkan niat dan tujuannya.
Salkarin kembali memandang Sakron. “Saikon memang biadap… tapi aku tak kisah sangat apa yang dia lakukan. Tiada seorang pun kaum kita yang menyokong cita-citanya. Saikon tak perlu kau takuti. Dia cuma seorang sahaja. Dia tidak akan mampu menghalang cita-cita kita. Kau jangan bimbang!”
Sakron mengeluh.
“Apa lagi?”
“Saikon disokong oleh Zaltar dan kumpulan Palsenaida.” Ujar Sakron.
“Zaltar?”
“Zaltar, anak Kaldin.”
“Kaldin? Pegawai Pencegah Jenayah tu?”
“Ya…” jawab Sakron tenang.
Wajahnya kelihatan tenang namun Salkarin tahu Sakron memang risau dengan situasi yang baru mereka hadapi itu.
“Jangan risau, Sakron. Zaltar takkan mampu berbuat apa-apa!”
Pelahan-lahan kesunyian menguasai ruang.
Seketika mereka hanya memandang ke arah luar tingkap bilik itu. Di luar bilik itu kelihatan bangunan-bangunan tinggi pelbagai bentuk. Ribuan cahaya lampu pelbagai warna itu menerangi seluruh ruang bandaraya Moras, yang terbina di bawah tanah tersebut sejak ribuan tahun dahulu itu.
Salkarin memandang wajah Sakron.
Tiba-tiba satu tenaga mendesis di sudut ruang itu. Satu bola cahaya muncul di sudut kiri ruang itu. Cahaya biru memancar keluar dari lapisan bola cahaya itu. Sakron terpaku seketika melihat keindahan bola cahaya itu. Ada corak warna di lapisan itu. Corak yang pelbagai jenis dan rupa. Semuanya bergabung membentuk lapisan yang mengawal cahaya biru tadi. Bola cahaya itu berfungsi sebagai portal pengangkutan ke mana-mana destinasi dalam bandaraya itu. Pengangkutan jenis itu amat popular dan merupakan salah satu jenis pengangkutan yang utama di bandaraya itu.
Dalam beberapa saat sahaja satu lembaga tersembul keluar dari bola cahaya itu.
“Dewis!” Suara Salkarin bergema sebaik sahaja mengenali pendatang itu.
Lembaga itu mengangguk dan senyuman terukir di bibirnya yang sama warna dengan kulitnya itu.
“Maharaja Zadar baru saja tiba dari Zuhal.” Lapor Dewis
“Pason dah sampai?” Tanya Sakron tanpa mengendahkan laporan Dewis itu.
Dewis mengangguk. “Kita ada maklumat terbaru…”
“Maklumat apa?” Tanya Salkarin.
“Ejen Ramus sudah menguasai sebuah kilang yang sesuai untuk tentera Krizod!”
“Hmmm… kalau begitu. Siapkan kapal. Kita bertolak sehari lagi.” Salkarin bersuara tegas, memerintah.
Sakron dan Dewis mengangguk faham.
“Tinggalkan aku di sini!” Sambung Salkarin tanpa mengalihkan pandangannya dari pemandangan bandaraya bawah tanah itu.
Sakron dan Dewis beredar dan hilang dalam bebola pengangkutan itu.
“Bumi…” gumam Salkarin, senyuman sinisnya terukir.
Untuk apa SAM C1G1 dibangunkan kembali? Siapakah SOLO dan apakah yang dilakukannya? Siapa Bon Huat dan mengapakah Aizad memburunya? Siapa pula Salkarin di Planet Marikh dan apakah tujuannya ke atas Bumi? Anda ingin tahu? Tunggu kisah ini di dalam episod SAM C1G1- Serangan Marian!

SAM C1G1-PART 1- GENERASI PERTAMA


Proffesor Ikmal meneliti carta dan paparan skrin maya di hadapannya itu. 97 % projek Janus itu hampir siap. Usaha yang dilakukan sejak setahun lebih itu hampir-hampir siap. Dia mungkin memerlukan beberapa jam lagi untuk menguji alat kelengkapan dan objek projek itu sendiri. Dan, detik itu tidak lama dari masa sekarang. Dia yakin.
Cyborgsaver G1 ataupun C1G1 direnungnya tanpa berkedip mata. Dia sedar usaha itu memakan belanja yang tidak sedikit. Hampir 2 Billion matawang US digunakan dalam projek Janus itu. Dan masa serta semangat juga banyak dikorbankan untuk tujuan murni itu. Dia tidak mahu usaha murni itu sia-sia seperti yang sudah-sudah. Merenung tubuh lelaki yang berdiri tegak dalam balang gergasi penuh dengan wayar-wayar dan kiub khas berselirat dia rasa sebak. Kesemua hujung tiub dan wayar tersebut disambungkan ke tubuh lelaki itu. Lelaki itu dikenali sebagai kolonel Hisyam Razifuddin.
Kolonel Hisyam Razifuddin adalah sahabatnya sejak dari kecil lagi Hisyam seorang yang sangat rapat dengannya. Sejak dari kampung hinggalah mereka bersekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan akhirnya mereka berpisah kerana Hisyam meminati bidang tentera dan menjadi tentera udara yang terbaik ketika itu. Manakala dia sendiri meneruskan minatnya dalam bidang robotik di UTEKROB. Dan setahun yang lalu dia terkorban dalam operasi tentera dalam serangan ke atas meteor itu. Mayatnya di bawah ke hospital kerajaan. Memandangkan dia tidak ada waris lagi selain dia sendiri sebagai sahabatnya. Maka dengan inisiatifnya sendiri dia telah menyimpan mayat sahabatnya itu di makmal khasnya di banglo kediamannya. Di situ ia diawet dan dikekalkan keadaannya dengan menggunakan mesin pelanjut hayat ciptaannya.
Dan kebetulan projek Janus dilancarkan. Projek itu memerlukan mayat seseorang yang segar dan masih berkeadaan baik. Maka dia mengambil keputusan untuk menggunakan mayat sahabatnya itu sebagai bahan utama Projek Janus. Dia sedar dan tahu apa yang dilakukannya walaupun pada mulanya dia tidak mahu menggunakan mayat sahabatnya itu. Namun, mengenang kembali semangat juang Hisyam dalam pengorbanan untuk negara maka dia merelakan tindakannya sebagai penghormatan ke atas sahabat baiknya itu.
Mayat Hisyam diubahsuai. Di bawa ke makmal yang terletak 3000 kaki di bawah permukaan Laut China Selatan. Dia sendiri yang mengubahsuai mayat sahabatnya itu. Dia tidak mahu saintis lain yang menyelia Hisyam. Kini pengubahsuaian itu sudah 100 peratus siap. Cuma pengisian Kad-Tenaga khas yang dibina berdasarkan Termosonuklear. Senjata ini merupakan senjata yang berbentuk peluru jenis gelombang tenaga yang dijana dari kuasa nuklear. Setiap janaan peluru tenaga itu menghasilkan satu bebola tenaga yang memiliki kekuatan 20 megatan. Dengan kemajuan senjata pemusnah yang cukup dashyat itu pasti meteor tersebut akan berkecai. Dia yakin!
Sebelum ini pelbagai jenis senjata dari jenis peluru berpandu, Misil dan Meriam Laser tidak berkesan sama sekali ke atas struktur meteor itu. Oleh itu, dia mencipta sejenis senjata yang hanya dijana oleh tenaga nuklear dan dikuatkan dengan sistem Supersonik ciptaan Dr. Arshenaida Fukada. Dengan menggunakan sel-sel hidup yang disuntik Triple X-Gen berwarna hijau tenaga nuklear yang dijana oleh sistem Supersonik akan mudah dibentuk dengan hujung jari dan berupaya dilancarkan secara fizikal. Dan. kadar momentum tenaga yang terhasil bersamaan dengan 60 Megatan Momentum nuklear.
Sel-sel yang dimilikinya membahagi dengan kadar 60 kali ganda lebih cepat dari normal. Ini bermakna, kemampuan Daya-Pulihnya sembuh dengan cepat. Sekiranya ia dicederakan maka rawatan penyatuan sel-selnya akan bertindak segera dan menyembuhkan luka atau kecederaan tersebut.
“Kenapa kau memilih tentera?” soal Ikmal ketika mereka sedang menikmati makan malam di sebuah restoran di Metropolis Kuala Lumpur tidak lama dulu. Sebuah restoran tertua di ibu negara itu. Ocean Food-Since 1955.
Hisyam tersengih. Dia terkelu seketika. Sebenarnya dia pun tidak pasti jawapan yang pasti dan tepat untuk soalan itu.
“Entah lah… mungkin sebab dalam jiwa aku ini ada semangat juang yang sentiasa meluap-luap dan tidak sesekali mengalah. Mungkin juga sebab takde pilihan lain… dan mungkin juga…”
“Mungkin juga kerana Syakirah?” potong Ikmal tiba-tiba.
Hisyam terkedu. Tidak menjangka jawapan itu yang lahir dari mulut sahabatnya.
Dia tunduk.
“Kan?!” tukas Ikmal.
Hisyam angkat muka. Wajah Ikmal direnung seketika.
“Dah jodohnya dengan orang lain… “ Gumamnya.
“Tau pun kau… sepatutnya kau kena redha dengan ketentuan. Dah nasib! Takkan sebab dia kau nak lupakan cita-cita kau? Aku yakin kau akan jadi peguam yang terbaik nanti. Kenapa mengalah? Jangan mengalah kerana seorang perempuan yang bukan ditakdir untuk kau!” Ikmal merenung sahabatnya itu, simpati.
“Maafkan aku Ikmal… selepas semua yang berlaku, aku rasa tawar untuk teruskan cita-cita aku. Aku bukan tidak minat tentera. Aku minat….aku memang minat. Kau pun tau.... sejak dari kecil lagi aku bercita-cita untuk jadi peguam. Tetapi itu bukan bermakna aku akanjadi peguam. Takdir dah tentukan aku akan jadi askar. Jadi tentera! Sekurang-kurangnya aku dapat juga berbakti untuk negara kita.”
Ikmal tarik nafas. Ada benarnya ungkapan Hisyam itu. Dia sebenarnya risau keselamatan Hisyam. Dia tidak mahu Hisyam terkorban. Dia tahu, tugas sebagai anggota tentera sangat berisiko tinggi. Kematian setiasa mengintai, maut sentiasa menunggu. Bila-bila masa sahaja Hisyam akan terkorban. Peluru tidak pernah mengenal siapa Hisyam. Hakikat itu semua orang tahu.
Dan hakikat itu menjadi reality kini. Hasilnya apa yang ada di depan matanya sekarang. Mayat Hisyam kini berada dalam balang gergasi itu. Bersemadi tenang menunggu ia dibangkitkan dengan personaliti baru dengan tujuan yang murni, semurni semangatnya dan tujuannya semasa hayatnya dulu. Kali ini dia bukan sahaja akan berbakti kepada negaranya malah seluruh dunia akan terhutang budi kepadanya. Dia akan menjadi penyelamat dunia yang pertama dalam sejarah dunia sebagai hasil teknologi tinggi dalam bidang robotik. Dia juga menjadi manusia pertama dalam sejarah dunia sebagai manusia pertama yang dihidupkan kembali dengan teknologi tinggi itu. Dia akan menjadi Cyborgsaver G1. Hisyam adalah generasi pertama dari model itu, C1G1.
“Prof.?”
Prof. Ikmal tersentak. Lamunannya berkecai seribu. Serta-merta wajah Hisyam dan perbualan mereka terputus diganti oleh wajah Aizad, si pembantu makmal.
“Ya, Aizad?” Prof. Ikmal bertanya dengan nada yang kurang senang.
“Prof… Gen G-flesh sudah sedia untuk disuntik.” Jawabnya.
Prof. Ikmal mengalihkan pandangannya ke arah mesin penyuntik itu. Kelihatan cecair hijau metalik terkandung dalam balang khas.
“Baiklah … mulakan!” arahnya.
Siapakah SAM C1G1 ? Apakah Suluken Corporation adalah pihak yang benar? Siapa pula Aizad? Untuk apakah SAM C1G1 dibina dengan kekuatan dan teknologi yang sangat tinggi itu? Apakah tujuan mereka? Ingin tahu? Ikuti kisahnya dalam Novel TN dalam episod SAM C1G1 - GENERASI PERTAMA!