The Alien - Link Select

Jumaat, 3 Jun 2016

PUASA DI BULAN RAMADHAN 2016 ???



PUASA DI BULAN RAMADHAN 2016
Masa berpuasa ditetapkan dengan arahan Allah berbunyi,
“Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam”
(2:187).
Maka umat Islam berpuasa dari permulaan waktu fajar hingga masuk waktu malam. Akan tetapi mereka yang menuruti ajaran ulama berpuasa dari waktu subuh hingga ke waktu maghrib. Kedua-dua waktu ini dengan sebutan namanya saja menunjukkan kelainan dengan waktu fajar dan malam seperti yang diajar oleh Tuhan.
Waktu subuh adalah waktu sebelum fajar, sementara waktu maghrib pula adalah waktu sebelum malam. Perkataan malam adalah “lail” dalam bahasa Arab. Dalam konteks al-Quran, waktu malam adalah bermula pada jam selepas matahari terbenam, menurut pembahagian jam siang dan malam.
Perkataan subuh dan fajar ada kaitan dengan amalan solat. Daripada al-Quran, dan hadis, disebut dengan jelas nama “solatil fajri”, atau solat fajar, bukan “solatil subhi”, atau solat subuh, seperti yang diajar ulama. Justeru umat yang menuruti petunjuk al-Quran memulakan puasa, setelah masuk waktu fajar, dengan solat fajar dan mengakhirkannya dengan solat "maghrib". Selepas solat, apabila gelap, mereka berbuka puasa.
Dengan itu, puasa bermula pada kira-kira pukul 6.00 pagi dan berakhir kira-kira setengah jam selepas masuk waktu WUSTA.  Pada ketika matahari terbenam sepenuhnya. Bermulanya siang pada selepas jam 7 pagi ke atas dan  Bermulanya malam selepas matahari terbenam pada jam 7 petang (Malam) ke atas.
Puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum (2:187). Larangan tambahan seperti mengorek hidung atau telinga yang dikatakan boleh membatalkan pahala puasa tidak dinyatakan di dalam al-Quran kerana tiada kaitan dengan makan dan minum, atau bercakap bohong dan sebagainya yang tidak seharusnya dijauhkan semasa dalam puasa sahaja. Lantas, puasa menurut ajaran Tuhan bebas daripada belenggu yang dikenakan oleh ulama.
Bercampur dengan isteri turut dilarang tetapi diharuskan pada waktu malam. Sebelum al-Quran turun ia dilarang sama sekali sepanjang musim puasa.
Firman-Nya:
“Dihalalkan bagi kamu, pada malam puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka. Allah tahu bahawa kamu khianati diri-diri kamu sendiri, dan terima taubat kamu, dan maafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka ….. dan jangan campuri mereka sedang kamu bertekun (iktikaf) di masjid” (2:187).
Hanya orang yang sakit atau dalam perjalanan sahaja dikecualikan daripada berpuasa (2:184 dan 2:185). Orang yang tinggalkan puasa dihendaki berpuasa pada hari atau hari-hari lain untuk mencukupkan bilangan hari. Bilangan hari untuk sebulan dalam kalendar lunar ialah dua puluh sembilan atau tiga puluh.
Sekiranya dia tidak mampu berpuasa pada hari-hari lain maka dia hendaklah menuruti ketetapan daripada Allah yang berbunyi,
“Dan jika sesiapa antara kamu sakit, atau jika dia dalam perjalanan, maka sebilangan daripada hari-hari lain; dan bagi orang-orang yang tidak boleh, ditebus dengan memberi makan seorang miskin, tetapi lebih baik baginya, yang buat kebaikan dengan sukarela, bahawa kamu berpuasa adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu tahu.” (2:184).
Allah menegaskan iaitu berpuasa adalah lebih baik daripada memberi makan kepada orang miskin untuk orang yang tidak cukup bilangan hari puasanya. Ini ialah kerana kebaikan yang tidak diketahui. Hanya yang diketahui dengan nyata mengenai kelebihan berpuasa adalah daripada dapatan ahli filasafah, sains dan doktor. Pada pendapat ramai daripada mereka, puasa adalah penting dalam kehidupan, kesihatan dan proses penyembuhan yang diperlukan untuk mewujudkan semula kesihatan yang baik apabila dihinggap penyakit.
Puasa adalah satu-satunya terapi pemulihan yang semula jadi. Ia adalah unsur alam yang purba lagi sejagat sebagai “ubat” untuk banyak masalah. Seperti haiwan dengan tingkah laku kenaluriannya berpuasa apabila jatuh sakit. Ikan salmon perak berpuasa berminggu-minggu lamanya ketika berenang ke hulu sungai yang jaraknya beratus batu untuk bertelur. Ratu semut tidak makan apa-apa sehingga telurnya menetas. Banyak jenis serangga dan haiwan berpuasa dalam hibernasi.
Hippocrates, bapa perubatan, mensyorkan puasa kepada ramai pesakitnya. Katanya, “Apabila kamu memberi makan kepada orang yang sakit, kamu memberi makan kepada penyakit. Sebaliknya pula, jika kamu menahan makanan, penyakit itu akan menyurut.”
Penyakit seperti akne dan ekzema, tinitus (bunyi dalam telinga yang kronik), gayat, fibromialgia, glaukoma, displasia serviks, sakit leher dan pinggang yang kronik, polimialgia reumatika, dan banyak yang lain boleh dibantu dengan puasa dalam proses pemulihannya. Kepekakan pun dapat dipulihkan dengan berpuasa menurut suatu laporan doktor yang disedarnya ketika merawat penyakit lain.
Tanda-tanda ketagihan (withdrawal symptoms) dalam penagihan dadah seperti alkohol, kokaina, nokotina dan kafeina dapat dihilangkan dengan cepat semasa pesakit berpuasa.
Puasa dikatakan juga boleh beri manfaat kepada keadaan kesihatan seperti demam selesema, aterosklerosis, flu, penyakit arteri koronari, bronkitis, angina pektoris, pening atau sakit kepala, hipertensi, sembelit, diabetes atau kencing manis, ketakcernaan, demam, cirit-birit, alahan alam persekitaran, penyakit lelah, gemuk, insomnia, kanser, sakit kulit, dan epilepsi.
Amalan itu juga didapati berkesan dalam beberapa kes keletihan terutamanya apabila ia disebabkan oleh kongesi organ dan tenaga, dan kepada ramai pesakit mental, dari kerisauan ke skizofrenia. Kesemua ini adalah hanya beberapa kelebihan dalam amalan puasa yang dapat dikesan.
Allah, di dalam Kitab petunjuk-Nya, tidak menyebut mengenai bentuk ganjaran atau pahala bagi orang yang berpuasa. Dia hanya menyebut upah yang besar. Firman-Nya,
“Lelaki yang muslim dan perempuan yang muslim, dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh, dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan lelaki yang rendah hati dan perempuan yang rendah hati, dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan yang menjaga, dan lelaki yang mengingat Allah dengan banyak dan perempuan yang mengingat - bagi mereka, Allah sediakan ampunan dan upah yang besar” (33:35).
Tidak juga disebut oleh Allah mengenai puasa sunat yang begitu banyak dianjurkan oleh para ulama. Selain bulan Ramadan, yang ditetapkan Allah, mereka menganjur puasa sunat pada bulan Rejab, Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah kecuali pada Hari Raya Haji dan Hari Tasyrik. Tambahan seperti ini mirip kepada perbuatan paderi atau rabai agama Kristian atau Yahudi.
Contoh puasa sunat rekaan ulama adalah “puasa enam” pada bulan Syawal, hari Asyura, hari Isnin dan Khamis, puasa al Bidh (puasa bulan putih) pada tarikh 13,14, dan 15 setiap bulan, Nispu Syaaban, dan tiga hari berturut-turut pada setiap bulan dengan bulan pertama dimulai pada hari Sabtu, Ahad dan Isnin, dan bulan kedua dari hari Selasa, Rabu dan Khamis. Kemudian bulan ketiga mulai semula seperti bulan pertama dan seterusnya.
Antara ganjaran pahala yang dijanjikan para ulama (yang tidak dijanjikan Allah di dalam al-Quran) untuk puasa sunat adalah pahala puasa setahun bagi puasa enam, pahala puasa selama-lamanya bagi puasa al Bidh, dan pahala puasa sebulan bagi puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya.
Pahala puasa bulan Rejab banyak disebut. Contohnya ialah puasa 3 hari pada bulan itu akan diselamatkan oleh Allah daripada bahaya dunia, seksa akhirat, penyakit gila, fitnah syaitan dan dajjal, dan 15 hari, Allah akan hapuskan dosa-dosanya yang telah lalu dan mengganti semua kejahatan dengan kebaikan. Ada pula ajaran lain yang menyatakan puasa 15 hari itu seperti puasa 100,000 tahun, dan 13 hari seperti puasa 3,000 tahun, dan 14 hari seperti puasa 10,000 tahun.
Dikatakan juga puasa sehari pada bulan Rejab dapat syurga yang tertinggi (Firdaus) sementara pendapat lain yang menyatakan puasa sehari adalah seperti kerjakan ibadat seumurnya. Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan 2 sayap, terbang seperti kilat diatas titi Sirotolmustaqim pada hari Qiamat. Ini semua adalah hanya janji ulama yang tidak bersekutu dengan Allah dalam kerajaan-Nya. Namun janji-janji seperti inilah yang buat mereka dikasihi oleh ramai orang Melayu.
Kesemua ajaran dan janji ulama dalam puasa bulan Ramadan dan puasa sunat yang tidak disebut di dalam al-Quran didapati tidak juga diajar oleh Rasul-Nya. Firman-Nya: “Sekiranya dia (Muhammad) mengada-adakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami ambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami potong urat jantungnya, dan tiadalah seseorang daripada kamu yang dapat menghalangi dia. Sesungguhnya ia (al-Quran) adalah Peringatan bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan), tetapi Kami tahu bahawa antara kamu ada yang mendustakan. Sesungguhnya ia (al-Quran) adalah satu penyesalan bagi orang-orang tidak percaya, dan sesungguhnya ia adalah yang benar yang diyakini, maka sanjunglah nama Pemelihara kamu, Yang Agung” (69:44-52).


SELAMAT BERPUASA…