The Alien - Link Select

Isnin, 1 Februari 2016

TAHAJJUD ???

 ALLAH S.W.T
Berfirman :
“Dan untuk malam, pada sebahagiannya, berjaga-jagalah(FATAHAJJAD) dengannya sebagai amalan tambahan bagi kamu; mudah-mudahan Pemelihara kamu bangkitkan kamu kepada sebuah medan yang terpuji.”
[ Q.S. 17 : 79 ]

“Sedikit daripada malam mereka tidur,  Dan pada waktu sebelum dinihari, mereka minta ampun,”
[ Q.S. 51 : 17-18 ]

“Yang melalui malam dengan bersujud kepada Pemelihara mereka, dan berdiri.”
[ Q.S. 25 : 64 ]

“Dan sebahagian daripada malam; sujudlah kepada-Nya, dan sanjunglah Dia melintasi malam yang panjang.”
[ Q.S. 76 : 26 ]

Idiom atau simpulan bahasa Inggeris di atas, burn the midnight oil, bermaksud, bekerja atau menelaah pelajaran sehingga larut malam. Dengan itu, tidur pada waktu malam dikorbankan sedikit sebanyak demi kecemerlangan kerjaya seseorang atau pelajaran bagi para pelajar. Seperti itu juga dilakukan oleh orang yang beramal kerana Allah.

Waktu malam dibuatkan Allah untuk manusia tidur dan rehat, dan siang untuk bangkit, dan mencari rezeki. Firman-Nya:

"Dia yang buatkan malam bagi kamu untuk menjadi pakaian, dan tidur untuk rehat, dan siang Dia buatkan untuk kebangkitan" (25:47).

"Daripada pengasihan-Nya, Dia buatkan untuk kamu malam dan siang, untuk kamu berehat padanya, dan untuk mencari pemberian-Nya, supaya kamu berterima kasih" (28:73).

Bagi orang yang bekerja pada waktu malam pula, mereka tidur pada siang hari. Firman-Nya:

"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah tidur kamu pada waktu malam dan siang hari, dan kamu inginkan sebahagian daripada pemberian-Nya" (30:23).

Tidur adalah suatu kerehatan. Tempoh masa tidur untuk orang dewasa berbeza-beza. Kebanyakan daripada mereka rasa puas dengan tidur selama tujuh hingga lapan jam pada waktu malam, sementara sedikit yang lain tidur lebih lama daripada itu, dan sedikit lagi memadai dengan hanya kira-kira empat jam sahaja. (Encyclopaedia Britannica).

Sebelum tidur pada waktu malam, manusia diingatkan supaya mengingati dan menyanjung Allah dengan lakukan solat. Amalan ini menghilangkan perbuatan jahat. Firman-Nya:

"Dan lakukan solat pada dua tepi siang, dan awal malam; sesungguhnya perbuatan baik menghilangkan kejahatan. Itu adalah satu peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat" (11:114).

Solat tersebut adalah solat isyak. Setelah menunaikannya, kebanyakan orang akan tidur hingga ke pagi. Akan tetapi, ada juga yang berjaga malam untuk buat amalan tambahan. Mereka menuruti suruhan Allah berbunyi:

"Dan untuk malam, pada sebahagiannya, berjaga-jagalah dengannya sebagai amalan tambahan bagi kamu; mudah-mudahan Pemelihara kamu bangkitkan kamu kepada sebuah medan yang terpuji" (17:79).

Orang-orang yang berjaga malam, dan sedikit daripadanya mereka tidur, adalah mereka yang bertakwa. Allah menetapkannya dengan ayat berbunyi:

"Sesungguhnya orang-orang bertakwa .... Sedikit daripada malam mereka tidur" (51:15-17)

Waktu malam ada keistimewaannya. Pada waktu itulah al-Qur'an diturunkan. Dua ayat yang menyusul jelaskannya, bermaksud:

"Kami turunkannya pada satu malam yang diberkati; Kami selamanya memberi amaran" (44:3).

"Sesungguhnya, Kami turunkannya pada malam yang berkuasa" (97:1).

Kerana itu, pada waktu malam, yang suasananya sunyi sepi, adalah amat sesuai untuk membaca al-Qur'an. Ia dibaca perlahan dengan tiap-tiap perkataan diperhati dan direnungkan, iaitu seperti orang menalaah. Dengan cara begini, Allah akan buatkan kandungan ayat-ayat yang berat dapat difahami dan disemat ke dalam hati. Bacaannya pula tidak dibuat seluruh malam tetapi hanya separuh daripadanya atau kurang lebih daripada separuh. Firman-Nya:

"Wahai kamu yang berselimut, Berjaga-jagalah pada waktu malam, kecuali sedikit, Separuh daripadanya, atau mengurangkan sedikit, Atau menambahkan sedikit, dan bacalah al-Qur’an dengan bacaan sebenar. Sesungguhnya Kami akan lemparkan kepada kamu ucapan yang berat. Sesungguhnya bahagian pertama malam lebih berat dalam pijakan, dan lebih tegak dalam ucapan" (73:1-6).

Allah menjelaskan lagi, dalam surah yang sama, apa yang dimaksudkan dengan separuh atau kurang lebih daripada itu, dengan menyebut kiraan satu per tiga, separuh, dan dua pertiga, daripada bahagian malam untuk membaca al-Qur'an. Ayat di dalam surah tersebut berbunyi:

"Pemelihara kamu tahu bahawa kamu berjaga-jaga hampir dua per tiga malam, atau separuhnya, atau satu per tiganya, dan segolongan daripada orang-orang yang bersama kamu. Dan Allah tentukan malam dan siang. Dia tahu bahawa kamu tidak akan jumlahkannya, dan Dia terima taubat kamu. Maka bacalah daripada al-Qur’an semudah yang dapat. Dia tahu bahawa antara kamu ada yang sakit, dan yang lain antara kamu berpergian di bumi, mencari pemberian Allah, dan yang lain berperang di jalan Allah. Maka bacalah daripadanya semudah yang dapat" (73:20).

Di samping membaca ayat-ayat Allah, amalan sujud turut diamal oleh sebahagian daripada ahli Kitab. Mereka itu diterangkan sebagai umat yang tegak. Firman-Nya:

"Tidaklah mereka semua sama; sebahagian daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak, yang baca ayat-ayat Allah pada tengah malam, dan sujud" (3:113).

Sujud disertakan dengan ucapan yang, pada hemat penulis, adalah terbuka menurut keadaan tertentu. Pun begitu, Allah beri beberapa contoh, seperti di bawah ini:

"Tidak membebankan" - 2:58

"Kami percaya kepada Pemelihara semua alam" - 7:121

"Pemelihara kami disanjung! Janji Pemelihara kami dilakukan" - 17:108

Cara sujud, seperti dalam peribadatan solat, tidak dikenakan menurut sesuatu regimen yang ketat. Cara Allah memang fleksibel, menurut keikhlasan, kesanggupan dan kemampuan seseorang. Justeru, di dalam al-Qur'an, terdapat orang-orang yang bersujud di atas dagu (17:107) dan muka mereka (48:29).

Sujud juga disebut dengan perbuatan berdiri. Firman-Nya:

"Yang melalui malam dengan bersujud kepada Pemelihara mereka, dan berdiri" (25:64).

"Atau, adakah orang yang patuh pada waktu malam, sujud dan berdiri, sedang dia takut pada akhirat, dan mengharapkan pengasihan Pemeliharanya?" (39:9).

Takut pada akhirat dan mengharapkan pengasihan Allah adalah perasaan dan harapan semasa sujud dan berdiri pada waktu malam. Mungkin ini baik diterjemahkan dalam ucapan kepada-Nya. Namun, Allah beri contoh ucapan dalam sujud dan berdiri, berbunyi:

"Wahai Pemelihara kami, Engkau palingkanlah daripada kami azab Jahanam; sesungguhnya azabnya adalah penderitaan yang paling ngeri, Buruknya ia sebagai sebuah tempat menginap, dan sebuah tempat tinggal" (25:65-66).

Untuk amalan membaca al-Qur'an, sujud dan berdiri, "wuduk" tidak diperlukan. Wuduk adalah hanya untuk solat (5:6). Tidak ada suruhan untuk berwuduk sebelum membaca al-Qur'an. Dan, sujud dan berdiri pada waktu malam itu bukan solat. Sekiranya ia solat maka Allah akan menyebutnya sebagai solat.

Sujud disertakan dengan lafaz menyanjung Allah. Ayat-ayat di bawah jelaskannya:

"Dan sebahagian daripada malam; sujudlah kepada-Nya, dan sanjunglah Dia melintasi malam yang panjang" (76:26).

"Lafazlah sanjungan-Nya pada malam hari, dan pada hujung-hujung sujud" (50:40).

Lafaz sanjungan kepada Allah tidak terbatas pada waktu malam sahaja. Waktu-waktu lain pun diperlukan, seperti yang dinyatakan di dalam ayat-ayat berikut:

"Maka sabarlah kamu atas apa mereka kata, dan lafazlah sanjungan Pemelihara kamu, sebelum terbit matahari, dan sebelum terbenamnya, dan sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu pada bahagian-bahagian malam, dan pada tepi-tepi siang, supaya kamu sangat puas hati" (20:130).

"Dan lafazlah sanjungan-Nya pada waktu malam, dan pada pengunduran bintang-bintang" (52:49).

Lafaz untuk menyanjung Allah adalah menurut keadaan tertentu. Al-Qur'an beri beberapa contoh, antaranya adalah:

"Engkau disanjung! Kami tidak ada pengetahuan melainkan apa yang Engkau ajar kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana" - 2:32 [ketika para malaikat ditanya mengenai nama-nama benda],


"Dia disanjung! Tidak, kepunyaan-Nya apa yang di langit dan bumi, semuanya patuh kepada-Nya" - 2:116 [apabila mendengar orang berkata Allah mempunyai anak],


"'Kepada Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku kata apa yang aku tiada hak dengannya. Jika aku katakannya, Engkau ketahuinya, dengan ketahui apa yang di dalam jiwaku, dan aku tidak ketahui apa yang di dalam jiwa Engkau; sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib" - 5:116 [sanjungan Nabi Isa tatkala Allah tanya adakah dia menyuruh pengikut-pengikutnya ambil dia dan ibunya sebagai tuhan],


"Dia disanjung, di atas apa mereka sekutukan" - 9:31 [kala disuruh mentaati habr, atau ulama agama, seperti mentaati Allah],


"Ini jalanku. Aku seru Allah dengan bukti-bukti yang nyata, aku dan sesiapa yang ikut aku. Kepada Allah sanjungan! Dan aku tidak termasuk orang-orang yang sekutukan" - 12:108 [semasa disuruh ikut jalan yang selain daripada jalan Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an],


"Dia disanjung! Tingginya Dia dengan ketinggian besar daripada apa mereka kata!" - 17:43 [contoh, sewaktu mendengar orang mengatakan Hukum Hudud Pas sebagai hukum Islam sebenar],


"Engkau disanjung! Ini fitnah yang besar" - 24:16 [selepas mendengar orang memfitnah], dan


"Engkau disanjung! Tidaklah patut bagi kami ambil untuk kami wali-wali (pelindung-pelindung), selain daripada Engkau" - 25:18 [setelah mendengar orang menyuruh ambil wali selain daripada Allah].

(Sila layari halaman Kalimat sanjung di dalam al-Qur'an selepas ini untuk mendapatkan keterangan sepenuhnya. Terima kasih.)

Lazimnya, menyanjung Allah adalah dengan sebutan subhan Allah. Sebutan itu boleh diubah atau dipanjangkan lagi, misalnya dengan menyelitkan doa dan lafaz taubat, seperti dicontohkan di dalam ayat-ayat di bawah:

"... sedang kami sanjung dengan memuji-Mu dan panggil Engkau Suci?" - 2:30,

"Yang mengingat Allah berdiri, dan duduk, dan di atas lambungan mereka, dan yang memikirkan mengenai ciptaan langit dan bumi, 'Wahai Pemelihara kami, tidaklah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Engkau disanjung! Lindungilah kami daripada azab Api.

"Wahai Pemelihara kami, sesiapa Engkau masukkan ke Api, maka sesungguhnya Engkau aibkannya; dan orang-orang zalim tidak ada penolong-penolong.

"Wahai Pemelihara kami, kami mendengar seorang pemanggil yang memanggil kami kepada keimanan, 'Percayalah kamu kepada Pemelihara kamu.' Dan kami percaya. Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan lepaskanlah kami daripada kejahatan-kejahatan kami, dan matikanlah kami berserta orang-orang yang taat.

"Wahai Pemelihara kami, berilah kami apa yang Engkau telah janjikan kami pada Rasul-Rasul Engkau, dan janganlah Engkau aibkan kami pada Hari Kiamat; sesungguhnya Engkau tidak mungkiri janji temu." - 3:191-194,

"Engkau disanjung! Aku bertaubat kepada Engkau; aku yang pertama antara orang-orang mukmin" - 7:143,

"Engkau disanjung, ya Allah" - 10:10,

"Pemelihara kami disanjung! Janji Pemelihara kami dilakukan" - 17:108,

"Maka sanjunglah nama Pemelihara kamu, Yang Agung" - 56:74, 56:96, 69:52,

"Sanjunglah nama Pemelihara kamu, Yang Tinggi" - 87:1, dan

Contoh terakhir ialah ketika duduk di atas kenderaan (binatang), berbunyi:

"Dia disanjung, yang tundukkan ini untuk kami, dan kami sendiri tidak setanding dengannya Sesungguhnya kepada Pemelihara kami, kami balik" (43:13-14).

Tidak dilupakan ialah lafaz meminta ampun dan bertaubat dalam menyanjung Allah. Firman-Nya:

"Maka sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu, dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dialah yang menerima taubat" - 110:3

Untuk membaca al-Qur'an, sujud, berdiri, dan menyanjung Allah, adalah tujuan utama orang-orang bertakwa kepada Allah burn the midnight oil. Amalan-amalan waktu malam itu diusahakan dengan harapan supaya dapat dibangkitkan ke sebuah medan terpuji di sisi Allah di akhirat kelak. Allah disanjung!