The Alien - Link Select

Isnin, 4 Januari 2016

SURAH LEBAH ???

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

16:1. Perintah Allah pasti datang; maka janganlah minta disegerakan. Dia disanjung! Tingginya Dia daripada apa yang mereka sekutukan.

16:2. Dia turunkan malaikat-malaikat dengan Roh daripada perintah-Nya kepada sesiapa Dia hendaki daripada hamba-hamba-Nya, "Berilah kamu amaran, bahawa tidak ada tuhan melainkan Aku; maka kamu takutilah Aku!"

16:3. Dia cipta langit dan bumi dengan benar; tingginya Dia daripada apa yang mereka sekutukan.

16:4. Dia cipta manusia daripada setitis mani; dan tiba-tiba, dia jadi penentang yang nyata.

16:5. Dan binatang ternak, Dia ciptakan untuk kamu; padanya kehangatan, dan pelbagai manfaat, dan daripadanya kamu makan.

16:6. Dan terdapat kecantikan padanya bagi kamu, apabila kamu membawanya pulang untuk merehatkan, dan apabila kamu melepaskannya keluar.

16:7. Dan mereka angkut beban-beban kamu ke sebuah negeri yang kamu tidak akan sampai padanya, melainkan dengan banyak kesusahan diri. Sesungguhnya Pemelihara kamu Lembut, Pengasih.

16:8. Dan kuda, dan baghal, dan keledai, untuk kamu tunggangi mereka, dan sebagai perhiasan; dan Dia cipta apa yang kamu tidak tahu.

16:9. Atas Allah untuk tunjukkan jalan, dan sebahagian ada yang menyimpang daripadanya. Jika Dia hendaki, tentu Dia beri petunjuk kepada kamu kesemuanya.

16:10. Dia yang turunkan kepada kamu dari langit, air, untuk kamu minum daripadanya, dan daripadanya pokok-pokok, untuk kamu biarkan ternakan kamu makan.

16:11. Dan dengannya Dia tumbuhkan untuk kamu tanaman, dan zaitun, dan palma, dan anggur, dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang memikirkan.

16:12. Dan Dia tundukkan untuk kamu malam dan siang, dan matahari, dan bulan; dan bintang-bintang ditundukkan dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang faham.

16:13. Dan apa yang Dia cipta untuk kamu di bumi yang bermacam-macam warnanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang mengingati.

16:14. Dia yang tundukkan untuk kamu laut, supaya kamu makan daripadanya daging yang segar, dan keluarkan daripadanya perhiasan-perhiasan untuk kamu pakai; dan supaya kamu lihat kapal-kapal membelahinya; dan supaya kamu mencari pemberian-Nya, dan supaya kamu berterima kasih.

16:15. Dan Dia lemparkan di bumi gunung-gunung supaya ia tidak bergoyang bersama kamu, dan sungai-sungai, dan jalan-jalan, supaya kamu dapat petunjuk.

16:16. Dan tanda-tanda jalan; dan dengan bintang-bintang mereka dapat petunjuk.

16:17. Adakah yang mencipta sama dengan yang tidak mencipta? Tidakkah kamu mengingati?

16:18. Jika kamu hitung rahmat Allah, kamu tidak dapat jumlahkannya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.

16:19. Dan Allah tahu apa yang kamu rahsiakan, dan apa yang kamu siarkan.

16:20. Dan orang-orang yang mereka seru, selain daripada Allah, tidak cipta sesuatu sedang mereka sendiri diciptakan,

16:21. Sudah mati, tidak hidup, dan tidak sedar bila mereka akan dibangkitkan.

16:22. Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Satu. Dan orang-orang tidak percayai akhirat, hati mereka menafikan, dan mereka sombong.

16:23. Tidak syaklah bahawa Allah tahu apa yang mereka rahsiakan, dan apa yang mereka siarkan; sesungguhnya Dia tidak suka orang-orang yang sombong.

16:24. Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Apakah yang Pemelihara kamu turunkan?" Mereka berkata, "Dongeng orang-orang dahulu kala."

16:25. Supaya mereka bawa beban mereka dengan genap pada Hari Kiamat, dan sebahagian beban orang-orang yang mereka sesatkan tanpa sebarang pengetahuan. Alangkah buruknya apa yang mereka dibebankan!

16:26. Orang-orang sebelum mereka buat tipu daya; kemudian Allah datang kepada bangunan mereka dari dasar-dasarnya, lalu bumbungnya jatuh kepada mereka dari atas mereka, dan azab datang kepada mereka dari tempat yang mereka tidak sedar.

16:27. Kemudian pada Hari Kiamat, Dia aibkan mereka, dengan berkata, "Di manakah sekutu-sekutu-Ku, orang-orang yang kerana mereka kamu melawan?" Orang-orang diberi pengetahuan berkata, "Kerendahan hari ini, dan keburukan, adalah ke atas orang-orang tidak percaya,

16:28. Yang malaikat-malaikat matikan sedang mereka menzalimi diri-diri mereka sendiri." Kemudian mereka lemparkan ketundukan, "Kami tidak buat jahat." "Tidak, tetapi sesungguhnya Allah tahu apa kamu buat,

16:29. Maka masuklah pintu-pintu Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya." Buruknya tempat tinggal orang-orang yang sombong!

16:30. Dan dikatakan kepada orang-orang bertakwa, "Apakah yang Pemelihara kamu turunkan?" Mereka berkata, "Baik!" bagi orang-orang buat baik di dunia, baik; dan sungguh, tempat kediaman akhirat adalah lebih baik; sangat baiknya tempat tinggal orang-orang bertakwa,

16:31. Taman-Taman Adn, yang mereka masuk ke dalamnya, di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya mereka dapati apa yang mereka hendak. Begitulah Allah balas orang-orang bertakwa,

16:32. Yang malaikat-malaikat matikan sedang mereka berkeadaan baik, dengan berkata, "Salamun alaikum! Masuklah ke Taman kerana apa kamu buat."

16:33. Adakah mereka menanti-nanti, melainkan bahawa malaikat-malaikat datang kepada mereka, atau datang perintah Pemelihara kamu? Begitulah orang-orang sebelum mereka telah buat, dan Allah tidak menzalimi mereka, tetapi diri-diri mereka sendiri mereka zalimkan.

16:34. Maka kejahatan-kejahatan yang mereka buat menimpa mereka, dan mereka diliputi oleh apa yang mereka olok-olokkan.

16:35. Orang-orang yang sekutukan berkata, "Sekiranya Allah hendak, tentu kami tidak sembah, selain daripada Dia, sesuatu, kami dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami haramkan, selain daripada Dia, sesuatu." Begitulah orang-orang sebelum mereka telah buat; tiadalah atas Rasul-Rasul, melainkan untuk sampaikan yang jelas.

16:36. Sesungguhnya Kami telah bangkitkan dalam tiap-tiap umat seorang Rasul, "Sembahlah Allah, dan jauhilah Thagut." Kemudian antara mereka ada yang Allah beri petunjuk, dan antara mereka wajar dengan kesesatan. Maka mengembaralah di bumi, dan perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang dustakan.

16:37. Walaupun kamu sangat inginkan untuk beri petunjuk kepada mereka, Allah tidak beri petunjuk kepada orang-orang yang Dia sesatkan; mereka tidak ada penolong-penolong.

16:38. Mereka bersumpah dengan Allah dengan sumpah segenap hati, bahawa Allah tidak akan bangkitkan orang yang mati; tidak, ia adalah satu janji yang mengikat-Nya tetapi kebanyakan manusia tidak tahu.

16:39. Supaya Dia jelaskan kepada mereka apa yang mereka selisihkan, dan supaya orang-orang tidak percaya tahu bahawa mereka sebenarnya pendusta-pendusta.

16:40. Hanyalah perkataan-perkataan yang Kami kata kepada sesuatu, apabila Kami hendakinya, ialah bahawa Kami ucapkan padanya, "Jadilah", maka jadilah ia.

16:41. Dan orang-orang yang hijrah kerana Allah setelah mereka dizalimi, pasti Kami akan tempatkan mereka di dunia di penempatan yang baik, dan upah akhirat adalah lebih besar jika mereka tahu,

16:42. Orang-orang yang sabar, dan tawakal (mempercayakan) kepada Pemelihara mereka.

16:43. Kami tidak utus sebelum kamu, melainkan lelaki-lelaki yang kepada mereka Kami wahyukan. Tanyalah ahli Zikir (Peringatan) jika kamu tidak tahu.

16:44. Dengan bukti-bukti yang jelas, dan Zabur; dan Kami turunkan Peringatan kepada kamu supaya kamu menjelaskan kepada manusia apa diturunkan kepada mereka; dan supaya mereka fikirkan.

16:45. Adakah mereka berasa aman, orang-orang yang buat tipu daya yang jahat, bahawa Allah tidak akan buatkan bumi telan mereka, atau bahawa azab tidak datang kepada mereka dari arah yang mereka tidak sedar?

16:46. Atau, bahawa Dia tidak akan ambil mereka dalam ulang-alik mereka, dan mereka tidak dapat mengandaskan-Nya?

16:47. Atau, bahawa Dia tidak ambil mereka, sedikit demi sedikit, dengan menghancurkan mereka? Sesungguhnya Pemelihara kamu Lembut, Pengasih.

16:48. Tidakkah mereka renungkan segala sesuatu yang Allah ciptakan yang menebarkan bayangnya ke kanan dan ke kiri, bersujud kepada Allah dengan rendah diri?

16:49. Kepada Allah sujud segala di langit, dan tiap-tiap makhluk yang merayap di bumi, dan para malaikat. Mereka tidak sombong.

16:50. Mereka takut kepada Pemelihara mereka yang di atas mereka, dan mereka buat apa yang mereka diperintah.

16:51. Allah berkata, "Janganlah ambil untuk kamu dua tuhan. Dia hanyalah Tuhan Yang Satu; maka kepada-Ku-lah kamu berasa gerun."

16:52. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi; untuk-Nya agama yang kekal. Maka adakah kepada selain daripada Allah kamu bertakwa?

16:53. Apa sahaja rahmat yang ada pada kamu, ia adalah daripada Allah; kemudian apabila mudarat sentuh kamu, kepada-Nya kamu melaung-laung.

16:54. Kemudian, apabila Dia hilangkan mudarat daripada kamu, tiba-tiba segolongan antara kamu sekutukan Pemelihara mereka,

16:55. Kerana mereka tidak percaya kepada apa yang kami beri mereka. Maka gembiralah kamu; kelak kamu akan tahu.

16:56. Dan mereka buatkan sebahagian daripada apa yang Kami rezekikan mereka kepada apa yang mereka tidak tahu. Demi Allah, kamu akan ditanya mengenai apa yang kamu ada-adakan.

16:57. Dan mereka adakan bagi Allah anak-anak perempuan; Dia disanjung! Bagi mereka apa yang mereka inginkan.

16:58. Dan apabila seseorang daripada mereka diberi berita gembira dengan seorang (anak) perempuan, mukanya jadi hitam, dan dia tercekik di dalam dirinya,

16:59. Sambil dia sembunyikan diri daripada kaum kerana keburukan berita gembira yang diberi kepadanya; sama ada dia akan peliharanya dengan hina, atau dia injakkannya ke dalam tanah. Alangkah jahat apa yang mereka putuskan!

16:60. Orang-orang tidak percayai akhirat, baginya persamaan yang buruk; bagi Allah persamaan yang tinggi; Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana.

16:61. Jika Allah pertanggungjawabkan manusia kerana kezaliman mereka, tidaklah Dia tinggalkan di atasnya satu makhluk yang merayap; tetapi Dia tangguhkan mereka ke satu tempoh yang dinyatakan; dan apabila tempoh mereka datang, mereka tidak akan undurkannya sesaat, dan tidak juga mendahulukannya.

16:62. Mereka adakan bagi Allah apa yang mereka tidak suka; dan lidah mereka terangkan dusta bahawa yang paling baik adalah bagi mereka. Tidak syaklah bahawa bagi mereka ialah Api, dan bahawa merekalah orang-orang yang segera dimasukkan.

16:63. Demi Allah, sesungguhnya Kami telah utus kepada umat-umat sebelum kamu, tetapi syaitan menampakkan indah bagi mereka amalan-amalan mereka; ia adalah wali (pelindung) mereka pada hari ini, dan bagi mereka, azab yang pedih.

16:64. Dan Kami tidak turunkan kepada kamu Kitab melainkan supaya kamu menjelaskan kepada mereka apa yang padanya mereka selisihkan, dan sebagai satu petunjuk, dan satu pengasihan bagi kaum yang percayai.

16:65. Dan Allah turunkan dari langit air, dan dengannya menghidupkan bumi setelah ia mati. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang mendengar.

16:66. Dan sesungguhnya pada binatang ternak ada pelajaran bagi kamu; Kami memberi minum kepada kamu daripada apa yang di dalam perut mereka, antara kotoran dan darah, susu yang tulen, enak bagi peminum-peminum.

16:67. Dan daripada buah-buahan palma dan anggur, kamu ambil daripadanya minuman yang memabukkan, dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang faham.

16:68. Dan Pemelihara kamu wahyukan lebah, "Ambillah untuk kamu daripada gunung-gunung, rumah-rumah, dan daripada pokok-pokok, dan daripada apa yang mereka bangunkan.

16:69. Kemudian makanlah tiap-tiap buahan, dan ikutlah jalan-jalan Pemelihara kamu yang senang kepergiannya." Kemudian keluar dari perut mereka, satu minuman yang bermacam-macam warna, di dalamnya penyembuhan untuk manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang memikirkan.

16:70. Allah cipta kamu; kemudian Dia matikan kamu; dan antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling hina, bahawa setelah tahu sesuatu, mereka tidak tahu apa-apa; sesungguhnya Allah Mengetahui, Berkuasa.

16:71. Dan Allah lebihkan sebahagian kamu di atas sebahagian yang lain dalam rezeki; tetapi orang-orang yang dilebihkan tidak akan serah rezeki mereka kepada apa yang tangan-tangan kanan mereka miliki supaya mereka jadi sama. Apa, dan adakah mereka sangkal rahmat Allah?

16:72. Allah buatkan untuk kamu daripada diri-diri kamu isteri-isteri, dan Dia buatkan untuk kamu daripada isteri-isteri kamu, anak-anak dan cucu-cucu, dan Dia rezekikan kamu daripada benda-benda yang baik. Apa, adakah mereka percayai yang palsu, dan adakah mereka tidak percaya kepada rahmat Allah?

16:73. Dan mereka sembah, selain daripada Allah, apa yang tidak ada kuasa untuk memberi rezeki kepada mereka sedikit pun dari langit dan bumi, dan tidak boleh buat apa-apa?

16:74. Maka janganlah buat persamaan bagi Allah; sesungguhnya Allah tahu, dan kamu tidak tahu.

16:75. Allah buat satu persamaan: seorang hamba yang dimiliki tuannya yang tidak berkuasa terhadap sesuatu, dan orang yang Kami rezekikan daripada Kami Sendiri dengan rezeki yang baik, dan dia nafkahkan daripadanya secara rahsia dan terang-terangan. Adakah mereka sama? Segala puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak tahu.

16:76. Allah buat satu persamaan: dua lelaki, seorang daripada mereka bisu, tidak berkuasa terhadap sesuatu, dan dia menjadi beban kepada tuannya - di mana sahaja dia hadapkannya, dia tidak datangkan kebaikan. Adakah dia sama dengan orang yang menyuruh pada keadilan, dan berada di atas jalan lurus?

16:77. Kepunyaan Allah keghaiban di langit dan bumi. Dan urusan Saat seperti sekelip mata, atau lebih dekat. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.

16:78. Dan Allah keluarkan kamu dengan tidak tahu sesuatu dari rahim ibu-ibu kamu, dan Dia buatkan untuk kamu pendengaran, dan penglihatan, dan hati, supaya kamu berterima kasih.

16:79. Tidakkah mereka renungkan burung-burung yang ditundukkan di udara di langit? Tiada yang menahannya melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang percayai.

16:80. Dan Allah buatkan satu tempat rehat bagi kamu daripada rumah-rumah kamu, dan buatkan untuk kamu, daripada kulit-kulit binatang ternak, rumah-rumah, yang kamu dapati ringan pada hari perjalanan kamu dan pada hari kamu menetap, dan daripada bulu-bulu mereka (biri-biri), dan bulu-bulu mereka (unta atau kambing), dan daripada rambut mereka, perkakas rumah tangga dan kesenangan untuk satu waktu.

16:81. Dan Allah buatkan untuk kamu lindungan daripada apa dia cipta, dan Dia buatkan untuk kamu, daripada gunung-gunung tempat perlindungan, dan Dia buatkan untuk kamu baju-baju untuk melindungi kamu daripada panas, dan baju-baju untuk melindungi kamu daripada bencana kamu sendiri. Begitulah Dia sempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu supaya kamu tunduk patuh.

16:82. Maka, jika mereka berpaling, bagi kamu hanyalah untuk sampaikan yang jelas.

16:83. Mereka mengenali rahmat Allah, kemudian mereka menafikannya, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang tidak percaya.

16:84. Dan pada hari Kami bangkitkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi, kemudian bagi orang-orang tidak percaya tidak diizinkan, dan tidak juga mereka diredai.

16:85. Dan apabila orang-orang buat kezaliman melihat azab, ia tidak diringankan untuk mereka, dan tiada tangguh akan diberi kepada mereka.

16:86. Dan apabila orang-orang yang sekutukan melihat sekutu-sekutu mereka, mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, mereka inilah sekutu-sekutu kami, yang kami seru selain daripada Engkau." Mereka lemparkan kembali kepada mereka ucapan, "Sesungguhnya kamu sebenarnya pendusta-pendusta."

16:87. Dan mereka lemparkan kepada Allah ketundukan pada hari itu, dan sesatlah (hilanglah) daripada mereka apa yang mereka ada-adakan.

16:88. Orang-orang tidak percaya, dan halangi jalan Allah, merekalah yang Kami tambahkan azab di atas azab kerana mereka buat kerosakan.

16:89. Dan pada hari Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi ke atas mereka daripada diri-diri mereka sendiri, dan Kami datangkan kamu sebagai saksi ke atas mereka itu. Dan Kami turunkan kepada kamu al-Kitab, penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk, dan pengasihan, dan sebagai berita gembira, bagi orang-orang muslim.

16:90. Sesungguhnya Allah menyuruh buat keadilan, dan buat baik, dan memberi sanak saudara; dan Dia melarang kesumbangan, dan kemungkaran, dan keangkuhan, dengan menegurkan kamu supaya kamu mengingati.

16:91. Tepatilah perjanjian Allah apabila kamu buat perjanjian, dan janganlah melanggar sumpah-sumpah setelah kukuhkannya, dan kamu buat Allah penjamin kamu; sesungguhnya Allah tahu apa kamu buat.

16:92. Dan janganlah jadi seperti perempuan yang memutuskan benangnya, setelah ia ditenun dengan kuat, kepada serabut, dengan mengambil sumpah-sumpah kamu sebagai hanya tipu muslihat antara satu sama lain, kerana kamu umat yang lebih ramai daripada umat yang lain. Allah hanya menguji kamu dengannya; dan sungguh Dia akan menjelaskan kepada kamu pada Hari Kiamat apa yang kamu padanya kamu selisihkan.

16:93. Sekiranya Allah hendak, tentu Dia buat kamu satu umat; tetapi Dia sesatkan siapa Dia hendaki, dan beri petunjuk kepada siapa Dia hendaki; dan sungguh, kamu akan ditanya mengenai apa kamu buat.

16:94. Janganlah jadikan sumpah-sumpah kamu sebagai hanya tipu muslihat antara satu sama lain, supaya kaki tidak tergelincir setelah ia berdiri teguh, dan kamu akan rasakan keburukan kerana kamu halangi jalan Allah, dan bagi kamu, azab yang besar.

16:95. Dan janganlah jual perjanjian Allah untuk harga yang sedikit; sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu tahu.

16:96. Apa yang ada pada kamu akan habis, tetapi apa yang ada di sisi Allah kekal; dan sungguh Kami akan balas orang-orang yang sabar dengan upah mereka mengikut yang paling baik daripada apa yang mereka telah buat.

16:97. Dan sesiapa yang buat kerja-kerja baik , lelaki atau perempuan, dan dia mukmin, sungguh Kami akan hidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan Kami akan balas mereka dengan upah mereka mengikut yang paling baik daripada apa yang mereka telah buat.

16:98. Apabila kamu baca al-Qur'an, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam.

16:99. Ia tidak ada kuasa terhadap orang-orang yang percaya, dan tawakal kepada Pemelihara mereka.

16:100. Kuasanya adalah terhadap orang-orang yang jadikannya sahabat mereka, dan orang-orang yang sekutukan.

16:101. Dan apabila Kami tukar satu ayat pada tempat ayat yang lain, dan Allah sangat-sangat tahu apa yang Dia turunkan, mereka berkata, "Kamu hanya mengada-adakan!" Tidak, tetapi kebanyakan mereka tidak tahu.

16:102. Katakanlah, "Roh Qudus (Suci) turunkannya daripada Pemelihara kamu dengan benar, dan untuk meneguhkan orang-orang yang percaya, dan untuk menjadi satu petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang muslim."

16:103. Dan Kami tahu bahawa mereka berkata, "Hanya seorang manusia yang mengajar dia." Lisan (bahasa) orang yang padanya mereka cerca bukanlah Arab, sedang yang ini adalah dalam bahasa Arab yang jelas.

16:104. Orang-orang tidak percayai ayat-ayat Allah, Allah tidak beri petunjuk; bagi mereka, azab yang pedih.

16:105. Mereka hanya ada-adakan dusta, yang tidak percayai ayat-ayat Allah, dan mereka itu, merekalah pendusta-pendusta.

16:106. Sesiapa yang tidak percaya kepada Allah sesudah keimanannya - kecuali orang yang dipaksa, dan hatinya tenteram dalam keimanannya - tetapi sesiapa yang dadanya dilapangkan dalam ketidakpercayaan, maka kepada merekalah kemurkaan daripada Allah, dan bagi mereka, azab yang besar.

16:107. Itu kerana mereka lebih suka kehidupan dunia daripada akhirat, dan bahawa Allah tidak beri petunjuk kepada kaum tidak percaya.

16:108. Mereka itu, Allah letak penutup pada hati mereka, dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka, dan mereka itu, merekalah orang-orang yang lalai.

16:109. Tidak syak, di akhirat merekalah orang-orang yang rugi.

16:110. Kemudian, sesungguhnya Pemelihara kamu, bagi orang-orang yang hijrah setelah dianiaya, kemudian berjuang dan sabar, sesungguhnya Pemelihara kamu setelah itu, Pengampun, Pengasih.

16:111. Pada hari tiap-tiap jiwa datang berdebat untuk dirinya sendiri; dan tiap-tiap jiwa dibayar sepenuhnya apa yang ia telah buat, dan mereka tidak dizalimi.

16:112. Allah buat satu persamaan: sebuah bandaraya yang aman, tenteram, rezekinya datang kepadanya dengan senang dari tiap-tiap tempat, kemudian ia tidak percaya (kafir) akan rahmat-rahmat Allah; maka Allah merasakannya pakaian kelaparan dan ketakutan kerana apa yang mereka kerjakan.

16:113. Sesungguhnya telah datang kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka, tetapi mereka dustakannya; maka mereka diambil oleh azab sedang mereka orang-orang zalim.

16:114. Maka makanlah daripada apa yang Allah rezekikan kamu, yang halal, yang baik; dan berterimakasihlah atas rahmat Allah, jika Dia kamu sembah.

16:115. Hanya benda-benda ini yang Dia haramkan kamu: bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa yang disucikan kepada selain Allah. Namun begitu, sesiapa yang terpaksa, dengan tidak menginginkan dan tidak juga menderhakai, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.

16:116. Dan jangan kata apa yang lidah kamu terangkan dengan dusta, "Ini halal, dan ini haram," supaya kamu ada-adakan dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah tidak akan beruntung.

16:117. Sedikit kesenangan, kemudian bagi mereka, azab yang pedih.

16:118. Dan orang-orang Yahudi, Kami telah haramkan mereka apa yang Kami ceritakan kepada kamu sebelumnya, dan Kami tidak menzalimi mereka, tetapi mereka menzalimkan diri-diri mereka sendiri.

16:119. Kemudian, sesungguhnya Pemelihara kamu - bagi orang-orang yang buat jahat dalam kejahilan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan membetulkan - sesungguhnya Pemelihara kamu sesudah itu, Pengampun, Pengasih.

16:120. Sesungguhnya Ibrahim ialah satu umat yang patuh kepada Allah, seorang yang lurus, dan bukan orang yang sekutukan.

16:121. Yang mensyukuri (berterima kasih) akan rahmat-Nya; Dia memilihnya, dan Dia berikannya petunjuk pada jalan lurus.

16:122. Dan kami beri dia di dunia yang baik, dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang salih.

16:123. Kemudian Kami wahyukan kamu, "Ikutlah anutan Ibrahim, seorang yang lurus, dan bukan orang yang sekutukan."

16:124. Sabat hanya dibuat ke atas orang-orang yang berselisih padanya; sesungguhnya Pemelihara kamu akan putuskan antara mereka pada Hari Kiamat mengenai apa yang mereka selisihkan.

16:125. Serulah ke jalan Pemelihara kamu dengan kebijaksanaan dan teguran yang baik, dan debatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Pemelihara kamu, Dia sangat-sangat tahu orang-orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dia sangat-sangat tahu orang-orang yang dapat petunjuk.

16:126. Dan jika kamu membalas, balaslah dengan yang serupa apa yang kamu dibalas (ditimpa), dan sesungguhnya jika kamu sabar, ia yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

16:127. Dan sabarlah; kesabaran kamu hanyalah dengan (pertolongan) Allah. Dan jangan sedih terhadap mereka, dan jangan kamu dalam kesempitan kerana apa yang mereka perdayakan.

16:128. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang bertakwa, dan orang-orang buat baik.