The Alien - Link Select

Rabu, 3 Oktober 2012

CINTA ALLAH ???

"TIDAK KU JADIKAN JIN DAN MANUSIA MELAINKAN UNTUK BERIBADAH KEPADA-KU" Banyaklah hadis-hadis dan atsar-atsar yang berkisar tentang kecintaan kepada Allah Taala yang tidak terkumpul oleh mereka yang mengumpulkannya.Dengan itu, jelaslah hal kecintaan kepada Allah Taala itu. Yang kabur adalah untuk memastikan maknanya yang sebenar. Kecintaan tidak akan terwujud kecuali setelah ma’rifah (kenal) dan idrak (tahu). Ini kerana manusia tidak akan mencintai sesuatu yang belum dikenali dan diketahuinya. Perasaan cinta timbul setelah manusia kenal dan tahu tentang sesuatu itu. Para sufi meletakkan ma’rifah (kenal) lebih tinggi daripada idrak (tahu). Dalam usaha untuk mencintai Allah dengan sebenar-benar cinta, kita mestilah mengenal Allah terlebih dahulu dan seterusnya ‘faham’ akan Allah. Mereka yang sampai ke tingkat ini dinamakan ‘Arifbillah’ iaitu orang-orang yang kenal dan faham akan Allah. Malangnya manusia dari golongan ini sangat sedikit bilangannya Kebanyakan para alim ulama hari ini pun hanya berada di tingkat ‘Alimullah” iaitu orang-orang yang tahu akan Allah, namun tidak sampai ke peringkat kenal dan faham akan Allah. Tersebut dalam kitab Zabur: “Siapakah yang lebih zalim, daripada orang yang beribadah kepada-Ku kerana syurga ataupun neraka? Kalaulah Aku tidak menciptakan syurga dan neraka, apakah Aku tidak berhak untuk ditaati? Nabi Isa a.s. melewati suatu kaum yang kuat beribadah dan kurus-kurus badan mereka. Kata mereka, “ Kami takut akan neraka dan kami mengharap akan syurga.” Nabi Isa a.s. menjawab, “Yang kamu takuti itu ialah makhluk dan yang kamu harapkan itu juga makhluk.” Nabi Isa a.s. melewati pula satu kumpulan lain yang sama keadaannya seperti kumpulan pertama tadi lalu kata mereka, “Kami menyembah-Nya kerana cinta kepada-Nya dan membesarkan-Nya kerana keagungan-Nya.” Jawab Nabi Isa a.s: “Kamulah wali-wali Allah (para aulia) yang sebenarnya. Aku telah disuruh untuk tinggal bersama-sama kamu.” Kata Abu Hazim: “Aku malu untuk beribadah kepada-Nya kerana pahala dan siksa. Kalau aku berbuat demikian, aku tak ubah seperti hamba yang jahat. Kalau tidak takut, maka tidak bekerjalah. Atau seperti orang jahat yang diupah. Kalau tidak diberi upah, nescaya dia tidak bekerja.” Kelazatan yang paling agung dan paling tinggi adalah mengenal Allah Taala dan memandang kepada wajah-Nya yang Maha Mulia. Tidak ada kelazatan lain yang lebih utama daripada kelazatan ini. Apabila seseorang itu berjaya ditempatkan di syurga Allah, maka dia juga berpeluang melihat Allah pada waktu-waktu tertentu mengikut taraf dirinya di sisi Tuhan. Sesungguhnya kenikmatan memandang wajah Allah ketika di dalam syurga itu membuatkan kenikmatan dan kelazatan syurga seperti istana, taman-taman, bidadari, sungai madu, sungai arak dan sebagainya langsung tidak ada nilai. Dengan sebab itulah ibadah para sufi adalah bermatlamatkan ‘memandang wajah Allah’, bukannya setakat ingin masuk ke dalam syurga. Lumrah alam, jika kita berazam untuk mendapat nombor satu di dalam perlumbaan, kalau tidak mendapat nombor satu pun sekurang-kurangnya kita akan mendapat tempat kedua atau ketiga. Tapi jika dari awal lagi kita sudah berazam untuk mendapat tempat ketiga, adalah mustahil untuk kita mendapat tempat pertama. Bahkan tempat ketiga pun belum tentu lagi. Begitu jugalah halnya dengan alam akhirat. Apabila kita bermatlamatkan untuk ‘berada di hadapan Allah memandang wajah-Nya”, kalau tidak kesampaian pun sekurang-kurangnya kita akan mendapat syurga. Tapi kalau sedari awal lagi kita bermatlamatkan syurga sahaja, sudah tentulah kita tidak akan mendapatkan Tuhan. Bahkan boleh jadi terlepas pula syurga itu. Sebahagian daripada para syeikh (guru agama) telah mimpi bertemu Bisyru bin Al Harts (seorang wali Allah yang masyhur) dan bertanya kepadanya: “Apakah yang sedang dibuat oleh Abu Nasar At Tammar dan Abdul Wahhab Al Warraq?” Jawab Bisyru Al Harts, “Aku tinggalkan kedua-duanya sesaat di hadapan Allah Taala, (mereka sedang) makan dan minum (di hadapan-Nya).” “Engkau pula bagaimana?” Bisyru menjawab , “Allah Taala tahu yang kegemaran aku kepada makan dan minum adalah sangat sedikit. Oleh itu aku dibiarkan-Nya memandang kepada-Nya.” Bisyr bin Al Harts lebih dikenali dengan nama Bisyr Al Hafi yang bermaksud Bisyr Si Kaki Ayam kerana dia tidak memakai sebarang alas kaki ataupun kasut ke mana saja dia pergi. Sebelum dipilih menjadi wali Allah,Bisyru merupakan seorang pemabuk. Suatu hari, dalam keadaan mabuk dia telah terjumpa secarik kertas yang tertulis ‘Bismillahirrahmanirrahim’. Kertas itu diambilnya lalu direnjisnya dengan minyak wangi. Kemudian disimpannya di suatu tempat yang sesuai di rumahnya. Pada malam itu Bisyr bermimpi mendengar satu suara yang berbunyi: “Kerana engkau telah mengharumkan nama-Ku, maka Aku pun akan mengharumkan nama-Mu. Kerana engkau telah menjaga nama-Ku, maka aku pun akan menjaga namamu.” (Mimpinya ini akhirnya menjadi kenyataan apabila namanya terus disebut-sebut oleh orang-orang soleh sehingalah ke zaman ini). Bisyr tidak menghiraukan mimpinya itu kerana mimpi orang yang suka minum arak sepertinya mustahil benar seperti mimpi orang-orang soleh. Dengan itu dia meneruskan kehidupannya sebagai seorang yang suka berpoya-poya dan bermabuk-mabukan. Suatu hari Bisyr mengadakan pesta di rumahnya. Tiba-tiba pintu diketuk orang. Pelayan Bisyr pun membukanya. Rupa-rupanya ada seorang lelaki yang tidak dikenali. Tanya lelaki itu: “Adakah tuan rumah ini seorang hamba?” Jawab si pelayan: “Tidak, sudah tentulah dia seorang yang merdeka.” Sambung lelaki itu lagi: “Katakan kepadanya, kalau dia seorang hamba, memang tidak patut dia berbuat seperti ini.” Si pelayan pun memberitahu Bisyr akan kata-kata lelaki misteri itu kononnya Bisyr adalah seorang hamba. Bisyr amat terperanjat lalu terus mengejar lelaki tadi. Dia meminta lelaki itu mengulang balik kata-katanya. Barulah Bisyr sedar yang dia hanyalah seorang hamba, anak kepada seorang hamba dan berketurunan hamba iaitu ‘hamba kepada Allah Taala’. Ketika itu juga Bisyr menangis dan bertaubat. Ketika dia bertaubat itu dia tidak memakai apa-apa alas kaki kerana begitu terburu-buru mengejar lelaki misteri tersebut.Dengan itu dia bersumpah untuk tidak akan memakai alas kaki atau pun kasut seumur hidupnya. Mengembaralah dia dengan berkaki ayam sahaja sehingga mendapat gelaran Bisyr Al Hafi. Banyaklah karamah yang terjadi kepada diri Bisyr Al Hafi seperti pernah berjalan di atas air, bertemu Rasulullah dan Saidina Ali di dalam mimpi dan menjatuhkan perompak dengan punggungnya sahaja. Dengan sebab dia membiasakan diri berpuasa pada siang hari maka itulah Allah telah membenarkannya untuk memandang wajah Allah sentiasa berbanding dua orang soleh sebagaimana dalam mimpi di atas. Ali bin Muwaffaq berkata: “Aku bermimpi seakan-akan masuk ke dalam syurga.Aku melihat seorang lelaki duduk pada suatu hidangan. Dua orang malaikat di kiri dan kanannya sedang menyuapkannya dengan semua makanan yang lazat-lazat. Dan orang itu terus makan. Aku melihat pula seorang lelaki yang berdiri di pintu syurga sedang memerhatikan wajah semua manusia. Sebahagian manusia dibenarkannya masuk dan sebahagian lagi ditolaknya.” Ali bin Al Muwaffaq meneruskan ceritanya: “Kemudian aku melewati kedua orang lelaki tersebut menuju ke Hadhiratul Quds (suatu tempat di kanan ‘arasy). Aku lihat di khemah Al ‘arasy ada seorang lelaki memandang ke atas, melihat kepada Allah Taala, yang tidak berkerdip matanya. Lalu aku pun bertanya kepada malaikat Ridhuan, “Siapakah ini?” Malaikat Ridhuan menjawab, “Ma’ruf Al Karkhi (seorang sufi besar). Dia beribadah kepada Allah bukan kerana takut kepada neraka-Nya dan tidak pula kerana rindu kepada syurga-Nya, tetapi kerana cinta kepada-Nya. Maka dia dibolehkan memandang kepada-Nya sampai Hari Qiamat.” Abu Sulaiman berkata: “Siapa yang pada hari ini (ketika hidup) sibuk dengan urusan dirinya sendiri, maka dia itu esok (setelah mati) akan sibuk dengan dirinya sendiri. Siapa yang hari ini sibuk dengan Tuhannya, maka dia itu esok akan sibuk dengan Tuhannya.” Sufyan As Tsauri pernah bertanya kepada Rabiah binti Ismail Al Adawiyah: “Apakah hakikat iman engkau?” Jawab Rabiah , “Aku tidak beribadah kepada-Nya kerana takut akan neraka-Nya dan tidak pula kerana cinta kepada syurga-Nya. Jika aku berbuat begitu, seolah-olah aku ini seorang jahat yang diberi upah. Akan tetapi aku beribadah kepada-Nya kerana cinta dan rindu kepada-Nya. Abu Darda berkata kepada Ka’ab: “Terangkanlah kepadaku tentang ayat yang paling khusus dalam Taurat.” Ka’ab menjawab: “Allah Taala berfirman: “Lamalah sudah rindunya orang-orang baik untuk menemui-Ku. Dan sesungguhnya Aku lebih lagi tersangat rindu untuk menemui mereka.” Ka’ab meneruskan katanya: “Dan tertulis di pinggir Taurat: “Siapa yang mencari Aku, nescaya dia akan mendapat Aku. Dan siapa yang mencari selain Aku, nescaya dia tidak akan mendapat Aku.” Lalu Abu Darda berkata, “Aku naik saksi, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah SAW berkata sedemikian.” Dalam berita-berita Nabi Daud a.s., Allah Taala ada berfirman: “Wahai Daud! Sampaikanlah kepada penduduk bumi-Ku, bahawa Aku mencintai siapa yang mencintaiKu. (Aku) duduk dengan siapa yang duduk-duduk denganKu. Berjinakan dengan siapa yang berjinakan dengan mengingatiKu. Teman kepada siapa yang berteman denganKu. Memilih dengan siapa yang memilih Aku. Patuh dengan siapa yang mematuhiKu. Siapa yang mencari Aku dengan kebenaran, nescaya dia akan mendapat Aku. Dan siapa yang mencari selain daripadaKu, nescaya dia tidak akan mendapat Aku. Lemparkanlah wahai penduduk bumi, akan apa yang berada kamu di atasnya, daripada tipuannya. Marilah kepada kemulian-Ku, berteman dengan Aku dan duduk-duduk dengan Aku. Berjinak-jinaklah dengan Aku, nescaya Aku berjinak-jinak pula dengan kamu. Dan Aku bersegera mencintai kamu.” Sebahagian salaf meriwayatkan bahawa Allah Taala ada menurunkan wahyu kepada sebahagian orang-orang as siddiqin: “Sesungguhnya aku mempunyai hamba-hamba daripada hamba-hamba-Ku, yang mencintai Aku dan Aku mencintai mereka. Mereka rindu kepada-Ku dan Aku (juga) rindu kepada mereka Mereka mengingati (berzikir) kepada-Ku dan Aku ingat kepada mereka.. Mereka memandang kepada-Ku dan Aku memandang kepada mereka. Maka kalau engkau ikuti jalan mereka, nescaya Aku cinta kepada engkau. Dan jikalau engkau berpaling daripada mereka, necsaya Aku kutuk akan dikau.” Orang as siddiqin beratanya: “Wahai Tuhanku. Apakah tanda-tanda (untuk mengenali) mereka?” Allah Taala berfirman: “Mereka memelihara akan naungan di siang hari, sebagaimana penggembala yang kasih sayang memelihara kambingnya. Mereka rindu kepada terbenamnya matahari, sebagaimana rindunya burung kepada sarangnya di waktu matahari terbenam (senja).Apabila mereka diselubungi waktu malam, bercampur aduk kegelapan, dibentangkan (mereka) tikar, ditegakkan tempat tidur dan setiap kekasih bersunyi-sunyian dengan Kekasihnya. Nescaya mereka payah berdiri di atas tapak kaki mereka, (dan payah pula untuk) berbaring di atas muka mereka. Mereka bermunajah (berbicara) kepadaKu dengan firman-Ku, (mereka) bercumbu-cumbuan kepadaKu dengan kenikmatanKu.” Sememangnya para sufi ternanti-nantikan waktu malam untuk duduk-duduk bersama KekasihYang akan Kekal Selamanya dengan mereka. Dikatakan Syeikh Abdul Wahid rah.a.tidak pernah tidur malam selama empat puluh tahun. Beliau mengerjakan solat Isya’ dan solat Subuh dengan wuduk yang sama. Ini terjadi juga kepada Raja Para Wali- Syeikh Abdul Qadir Jailani. Diberitakan bahawa ada seorang alim yang pernah beribadah selama dua belas hari dengan satu wuduk sahaja. Dia juga khabarnya tidak pernah membaringkan dirinya di tempat tidur selama lima belas tahun. Imam Ahmad bin Hanbal yang mengasaskan mazhab Hambali dikatakan bersolat sunat sebanyak 300 rakaat pada setiap malam. Said bin Al Musayyab menunaikan solat Subuh dengan wuduk solat Isya’ selama 50 tahun. Pendiri mazhab Hanafi pula iaitu Imam Abu Hanifah dikatakan menunaikan solat Subuh dengan wuduk solat Isya’ selama 40 tahun. bayangkanlah, selama berpuluh-puluh tahun mereka menghidupkan waktu malam dengan duduk-duduk bersama Kekasih. Hanya hamba yang sudah jatuh cinta kepada Tuhannya saja yang dapat melakukan sedemikan. Nabi Daud pernah berkata: “Wahai Tuhanku. Tunjukkanlah kepadaku orang-orang yang mencintai Engkau.” Lalu Allah berfirman: “Hai Daud. Pergilah ke bukit Lebanon. Di sana ada empat belas orang manusia yang terdiri daripada para pemuda, ketua-ketua dan orang-orang tua. Apabila engkau sampai kepada mereka, sampaikanlah salamKu kepada mereka. Katakan kepada mereka yang TuhanMu menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: “Apakah kamu tidak mahu meminta apa-apa hajat keperluan? Sesungguhnya kamu adalah kekasih-Ku, pilihan-Ku dan wali-wali-Ku. Aku gembira kerana kegembiraanmu dan aku bersegera kepada mencintaimu. Dan Aku memandang kepada kamu pada setiap saat, sebagaimana pandangan seorang ibu yang (penuh) kasih sayang dan lemah lembut.” Maka Nabi Daud a.s. pun pergilah kepada mereka. Dilihatnya mereka sedang duduk berhampiran suatu mata air sedang bertafakur kepada kebesaran Allah Azza wa Jalla. Apabila mereka ternampak Nabi Daud, merekapun bangun untuk mengelakkan diri daripadanya. Nabi Daud a.s. pun berkata: “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu. Aku datang untuk menyampaikan risalah Tuhanmu..” Mereka pun terus menghadapkan diri mereka ke arah Nabi Daud dan memberi perhatian kepadanya. Namun begitu kepala mereka tetap tunduk ke bumi. Nabi Daud berkata lagi: “Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan salamNya kepada kamu”. Kemudian Nabi Daud pun menceritakan bagaimana firman Allah SWT kepada mereka. Maka mengalirlah air mata di pipi mereka. Ketua mereka berkata: “Subhanaka. Subhanaka (Maha Suci Engkau).” Seterusnya seorang demi seorang mereka meluahkan isi hati mereka kepada Allah SWT. Maka Allah Taala menurunkan wahyu kepada Nabi Daud a.s. yang berbunyi: “Katakan kepada mereka, Aku sudah mendengar perkataan kamu dan aku perkenankan kamu.” Nabi Daud lalu bertanya: “Wahai Tuhanku. Bagaimanakah mereka dapat memperolehi semua ini daripada Engkau?” Tuhan berfirman: “Dengan berbaik sangka dan mencegah diri mereka daripada dunia dan penghuninya. (Mereka) bersunyi-sunyian dengan Aku dan bermunajah kepada Ku.”

Tiada ulasan: