The Alien - Link Select

Isnin, 14 November 2011

AL-AQSA???



Qubbat As-Sakhrah - Kubah Batu (B. Arab: قبة الصخرة Qubbaṯ al-Ṣakhraṯ, B. Ibrani: כיפת הסלע Kipat Hasela, B. Turki: Kubbetüs Sahra B. Inggeris: Dome of the Rock) ialah antara seni binaan Islam yang tercantik di dunia. Qubbat As-Sakhrah bukanlah sebuah masjid sebaliknya ialah sebuah kompleks yang terdapatnya sebuah batu besar yang dikatakan tempat Nabi Muhammad s.a.w. berdiri ketika peristiwa Israk Mikraj. Qubbat As-Sakhrah terletak di Baitulmuqaddis di kawasan Al Haram Al Sharif. Qubbat As-Sakhrah bukanlah Masjid Al-Aqsa kerana Masjid Al-Aqsa terletak tidak jauh daripada bangunan ini. Qubbat Al-Sakhrah seringkali disalahertikan sebagai Masjid Umar yang merupakan tempat Saidina Umar Al-Khatab bersolat ketika tiba di Baitulmuqaddis. Berbanding dengan rumah-rumah ibadat yang lain, Qubbat As-Sakhrah yang paling dikenali sebagai simbol Baitulmuqaddis yang menjadikannya istimewa.

Perlu diingatkan bahawa bukan sahaja Masjid Al-Aqsa yang suci kepada umat Islam tetapi Qubbat As-Sakhrah dan kawasan sekitarnya juga adalah suci kerana ia terdapat di dalam Al Haram Al Sharif. Keseluruhan kawasan Al Haram Al Sharif ini ialah Masjidil Aqsa dan bukannya Masjid Al-Aqsa sahaja kerana bangunan Masjid Al-Aqsa dibina selepas penaklukan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam. Masjid Al-Aqsa hanyalah mengambil sempena nama Masjidil Aqsa di dalam Al Quran.

Sebuah kumpulan radikal Yahudi di Israel ingin memusnahkan Qubbat As-Sakhrah dan bangunan-bangunan lain di Al Haram Al Sharif bagi membina kuil ketiga Yahudi di kawasan terbabit. Sebarang rancangan untuk memusnahkannya atau memindahkannya pasti akan menimbulkan kemarahan umat Islam sehingga boleh membawa kepada konflik dan perperangan.

Qubbat As-Sakhrah, seni binaan agung Islam yang pertama dibina diantara tahun 687 masihi sehingga tahun 691 masihi oleh Khalifah Abdul Malik ibni Marwan, khalifah kerajaan Ummaiyyah. Ia dibina setengah kurun selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.. Pelbagai masalah dan cabaran dihadapi bagi mempertahankan dan mengekalkan dan mengelakkan bangunan ini daripada musnah. Sejarah Qubbat Al-Sakhrah boleh difokuskan kepada empat zaman secara keseluruhannya iaitu Zaman Islam, Zaman Perang Salib, Zaman Mandat British dan Zaman Pendudukan Israel.

Qubbat As-Sakhrah terkenal dengan keindahan dan kehalusan seni binanya. Kubahnya yang amat terkenal diliputi oleh batu-batu marmar yang mahal dan cantik bagi memperindahkan lagi seni binaannya. Malah, ia juga dikategorikan sebagai bangunan warisan dunia PBB. Tetapi sejak akhir-akhir ini ia diancam keretakan kerana kerja-kerja arkeologi oleh ahli arkeologi Israel. Kubah emasnya disalut emas hasil daripada bantuan Arab Saudi.

Pada tahun 638 masihi, selepas beberapa tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., tentera Islam mengepung Baitulmuqaddis. Ketua Gereja Baitulmuqaddis, Sophronius, menyerahkan kota itu selepas kepungan yang singkat. Cuma terdapat satu syarat iaitu perbincangan mengenai penyerahan itu mestilah menerusi Khalifah Saidina Umar Al Khatab sendiri, khalifah kedua Islam.

Saidina Umar memasuki Baitulmuqaddis dengan berjalan. Tidak ada pertumpahan darah dan tidak ada pembunuhan oleh tentera Islam. Sesiapa yang ingin meninggalkan Baitulmuqaddis dengan segala harta benda mereka, dibenarkan berbuat demikian. Sesiapa yang ingin terus tinggal dijamin keselamatan nyawa, harta benda, dan tempat beribadat mereka. Semua ini terkandung dalam Perjanjian Umariyya.

Buat pertama kalinya Baitulmuqaddis terselamat daripada bermandi darah. Mengikut cerita, Saidina Umar kemudiannya menemani Sophronious ke gereja Church of the Holy Sepulchre yang mana Saidina Umar ditawarkan bersolat di dalamnya. Saidina umar menolak takut akan timbulnya syak wasangka yang dapat menjejaskan penggunaan gereja itu sebagai tempat beribadat penganut Kristian. Saidina Umar sebaliknya menunaikan solat di sebelah selatan gereja tersebut yang kini merupakan tapak Masjid Umar di Baitulmuqaddis.

Saidina Umar kemudiannya meminta supaya dibawa ke tempat Masjidil Aqsa dengan ditemani beratus-ratus orang Islam. Saidina Umar mendapati tempat itu dipenuhi dengan habuk dan sampah sarap. Saidina Umar terus mengarahkan supaya tempat itu dibersihkan dengan serta-merta. Sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu kemudiannya didirikan pada masa Saidina Umar di sebelah paling selatan iaitu Al Haram Al Sharif.


Masjid Al-Aqsa (Arab: المسجد الاقصى), adalah sebahagian daripada kompleks bangunan-bangunan agama-agama di Baitulmuqaddis dikenali sebagai Gunung Majed atau Al-Haram Al-Sharif dan tapak ibadah suci yang ketiga (Tapak Ibadah Suci) kepada Muslim dan Har ha-Bayit (Kuil Suci) kepada Yahudi.

Masjid ini terletak di Baitulmuqaddis Timur, satu kawasan pertelingkahan yang ditadbir sebahagiannya daripada Israel tetapi dituntut oleh Palestin sebagai sebahagian daripada Palestin yang baru. Masjid terbesar di Baitulmuqaddis, ia boleh memenuhi lebih kurang 5,000 orang yang beribadah di dalam dan di sekitarnya.

Masjid ini ditadbir oleh pihak Wakaf sejak zaman pendudukan Israel pada tahun 1967.

Nama "Masjid Al-Aqsa" bermaksud "masjid paling jauh", dan ia mungkin diambil daripada Isra dan Mi'raj, satu tradisi Muslim tentang perjalanan lebih kurang pada 621 Nabi Muhammad s.a.w.(570-632). Berdasarkan pada ayat al-Quran, Nabi Muhammad s.a.w. melalui perjalanan dengan menaiki Buraq daripada "masjid al-haram" ( di Mekah di selatan Arab Saudi ) hingga ke "masjid paling jauh" (Masjid al-Aqsa), dan daripada satu batu di sana, Nabi Muhammed menaiki Buraq dan kemudiannya naik ke langit, ditemankan oleh malaikat Jibril, dan menghabiskan masa menjelajah langit dan menerima wahyu mewajibkan solat sebelum kembali ke bumi dan berkomunikasi dengan orang-orang yang beriman. Lokasi "masjid paling jauh" tidak dinyatakan dengan jelas di dalam al-Quran, tetapi ia berkait rapat dengan Baitulmuqaddis, walaupun Baitulmuqaddis tidak dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran

Sebuah masjid kayu pada asalnya dibina di sini oleh Saidina Umar Al-Khatab, khalifah kedua Islam pada tahun 638M. Selepas pembinaan Qubbat As-Sakhrah, Khalifah Abdul Malik ibni Marwan mengarahkan supaya dibina sebuah masjid bagi mengantikan masjid yang sedia ada. Anaknya Al Walid ibni Abdul Malik menyiapkan pembinaan masjid ini semasa pemerintahannya pada 705M. Masjid ini harus tidak dikelirukan dengan keseluruhan kawasan ini yang juga dikenali sebagai Masjid Al-Aqsa Al Haram Al Sharif. Setiap inci kawasan ini amat suci dan tidak boleh dirundingkan.

INI KAWASAN SUCI ISLAM YANG KETIGA DAN WAJIB MESTI DIPERTAHANKAN KESUCIANNYA!!!