The Alien - Link Select

Jumaat, 28 Ogos 2009

SOLAT SUNAT TERAWIH

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat. Padanya terdapat malam lailatulqadar iaitu satu malam yang lebih mulia dari seribu bulan. Padanyalah diturunkan al-Qur’an yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam. Firman Allah S.W.T:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” – Surah al-Qadr: 1-5.

Pada bulan Ramadan ini jugalah Allah melimpahkan kasih sayang-Nya kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Ganjaran pahala kurniaan-Nya untuk hamba-Nya yang beribadah pada bulan Ramadan juga berlipat kali ganda melebihi bulan-bulan yang lain. Inilah bulan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Sabda Rasulullah s.a.w. : “Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1898.

Selanjutnya baginda bersabda: “Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1899.

Oleh itu, amat rugi sekiranya amalan ibadah yang kita kerjakan pada bulan yang mulia ini tidak diterima oleh Allah kerana tidak menepati kehendak-Nya. Untuk memastikan segala amal ibadah kita di terima oleh Allah, ia perlu memenuhi dua syarat utama, iaitu:

1. Amal ibadah hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah. Apa yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah tidak bercampur dengan unsur syirik dan khurafat.

2. Amal ibadah itu juga hendaklah dikerjakan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w yang sahih. Haram sama sekali mencampur-adukkan ibadah dengan perkara bid’ah.

Solat tarawih merupakan satu sunnah yang amat dituntut bagi seluruh umat Islam untuk mengerjakannya pada malam bulan Ramadan. Sabda baginda : “Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759.


Solat Sunat Tarawih adalah satu jenis solat sunat yang dikerjakan semasa Bulan Ramadan.

Latar Belakang
Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Setiap empat rakaat dinamakan tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga ckup 8 ataupun dua puluh rakaat.

Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadan. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.


Dalil

Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang Tarawih. Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.

Aisyah r.a. berkata; “Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda S.A.W. mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasulullah S.A.W. tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasulullah berkata kepada mereka; “Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut sembahyang itu diwajibkan ke atas kamu.” Dan peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadan.


Hukum
Hukum mengerjakan sembahyang tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Sembahyang tarawikh lebih afdal dikerjakan secara berjemaah di masjid, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

Menurut Imam Al Ghazali dalam buku Rahsia-Rahsia Solat, walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah. Solat terawih termasuk solat Tahajjud atau shalatul lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.


Cara Solat Tarawih
Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Isyak sehinggalah ke larut malam. Sembahyang Terawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain.

Solat sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan solat Isyak. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan solat sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana solat sunat tarawih boleh dibuat sehingga sebelum solat Subuh. Biasanya di Malaysia, solat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas solat Isyak. Sembahyang Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa solat Subuh.

Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:



Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.

Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan solat Tarawih, salah satunya dengan formasi 2 kali 4 rakaat masing masing dengan sekali salam setiap selesai 4 rakaat. Oleh kerana itu, dalam niat solat Tarawih, niatnya disesuaikan menjadi "arbaa raka'ataini".


Bilangan Rakaat


Umat islam menunaikan sembahyang tarawih di bulan RamadanPada zaman Rasulullah S.A.W., sembahyang Tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat saja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Rasulullah S.A.W. juga tidak memberatkan solat ini ditunaikan di masjid kerana tidak mahukan sahabat berfikiran solat ini solat yang wajib. Pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab pula beliau menambah lagi menjadikan 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.

Sembahyang ini juga dibuatkan sebanyak 20 rakaat dan ditambah 3 rakaat sembahyang witir. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Tarawih sebanyak 20 rakaat dengan ditambah dengan 3 rakaat sembahyang witir.

Sembahyang tarawikh boleh dibuat sebanyak lapan rakaat, sesuai dengan keterangan Aisyah r.a. : “Rasulullah S.A.W. tidak pernah mengerjakan sembahyang sunat, bulan Ramadan atau bulan lainnya, lebih dari empat rakaat, kemudian beliau kerjakan lagi empat rakaat (Jangan tanya tentang baik dan panjangnya), kemudian beliau tambah lagi tiga rakaat yakni witir.” Riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim; “Rasulullah mengerjakannya sebelas rakaat, temasuk di dalamnya sembahyang witir.”

Di Masjidil Haram di Makkah, sembahyang terawih dilakukan dengan diikuti oleh jemaah yang besar. Kebiasaannya imam membaca satu juzuk al-Quran pada setiap kali tarawih dan menamatkan seluruh al-Quran (30 juzuk) pada malam ke-29 Ramadan.

Kelebihan Sembahyang Tarawih
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.


insyallah... Marilah kita sama-sama menunaikan solat sunat Terawih yang amat menguntungkan ini... semoga solat kita diterima Allah SWT.


"Selamat berpuasa dan berterawih"