The Alien - Link Select

Rabu, 30 Disember 2009

AKU BUKAN HISYAM

“Aku tak sangka bangsa primitif seperti ini mampu melahirkan makhluk yang kuat seperti kau.” Ujar Krimna sambil melangkah tenang ke arah Hisyam.
Hisyam ketika itu telah selesai memulihkan sistem C1G1 ke asalnya dan tubuh badannya kembali bertenaga seperti sedia kala. Dia kini sudah bersedia menghadapi lawan.
Krimna mendongak ke atas dan memerhati seluruh ruang di situ. Hisyam ketika itu mengambil kesempatan dan mula menyerang dengan tenaga maksimanya. Satu tendangan dilancarkan ke arah Krimna. Krimna mengelak pantas setelah menyedari bahaya tendangan itu. Hisyam tersentak tetapi dengan pantas dia mencapai meja besi yang terdapat di ruang itu lalu melontarkannya ke arah Krimna. Meja besi yang besar itu melayang pantas ke arah Krimna namun tidak mengenai sasarannya.
Meja besi terhempas ke dinding.
Krimna bergerak pantas ke arah Hisyam lalu melepaskan satu tendangan kuat ke samping kiri namun tendangannya ditahan. Hisyam dengan pantas mencengkamnya dan memegangnya kemas. Dengan sekuat tenaga dia menghayun Krimna ke atas. Siling makmal berlubang besar setelah dentuman memekakkan telinga bergema.
Hisyam mengekori sebaik sahaja Krimna berada di tingkat atas. Ketika itu Krimna mengambil keputusan drastik. Dia meluncur laju sepenuh kekuatannya menembusi siling tingkat atas itu. Dia sedar bangunan di mana dia berada itu berada di bawah laut kerana dia dapat mengimbas kawasan sekeliling sebentar tadi. Dia mesti ke permukaan secepat yang mungkin.
Hisyam mengejar pantas. Krimna di hadapannya berada 3 tingkat sedang meluncur lebih laju darinya untuk kepermukaan. Bangunan HQ bergegar setiap kali Krimna menembusi siling bangunan. Dan kiraan Presiden sudah sampai ke kemuncaknya.
“Sepuluh… sembilan… lapan… tujuh… enam… lima… empat… tiga… dua… satu!” Kiraan itu berakhir. Sunyi seketika.
Selepas itu yang kedengaran hanyalah satu letupan bawah tanah yang kuat. Permukaan Laut China Selatan bergelora seketika. Ketika itu juga Krimna meluncur laju membelah langit biru diikuti Hisyam ke udara.




BAB 13


BILIK 911-2
HQ 2

Prof. Ikmal dan Aizad semakin risau dan bimbang tatkala HQ musnah dalam letupan ‘musnah-diri’ itu. Dia tahu HQ sudah tidak wujud lagi. Segala-galanya telah berakhir. Namun, dia harap Hisyam selamat dan berjaya menangani pendatang itu. Dia sedar, sesuatu yang besar sedang berlaku.
Aizad memandangnya dengan seribu perasaan yang mudah ditafsir dari roman wajahnya. Dia tahu pembantunya itu juga takut dan bimbang sepertinya. Mujurlah semua penghuni HQ sudah berjaya dipindahkan melalui Lif Plasma yang berhubung terus ke HQ 2 yang terletak 10 kilometer dari situ.
“Prof?” suara Aizad kedengaran.
Prof. Ikmal menoleh ke arah pembantunya itu.
“Apakah sebenarnya yang berlaku sebentar tadi?” Soalnya.
Prof. Ikmal tarik nafas resah. “Krimna!”
“Krimna?”
“Ya ... Krimna! Itulah yang aku dengar dari Hisyam.” Jawab Prof. Ikmal, yakin. Semangatnya beransur pulih. Dia rasa takut sebenarnya ketika serangan itu berlaku. Dia bukanlah seorang yang suka berperang dan jarang sekali dia mendengar bunyi tembakan ataupun letupan. Semua itu membuatnya takut.
“Makhluk hitam keperakkan itu... Krimna?” Aizad minta kepastian. Rasa takutnya mula meresap. Kalaulah SAM C1G1 yang kuat itu boleh dikalahkan. Bagaimana pula dengan mereka yang lemah sepertinya. SAM C1G1 adalah Cyborg yang terkuat. Tiada satu pun dalam dunia ini yang mampu mengalahkannya. Tetapi makhluk yang dipanggil Krimna itu mudah sahaja mengalahkan SAM C1G1.
Dia memandang sekilas ke arah kumpulan saintis dan tentera yang sedang berkawal di Bilik 911-2 itu. Ketika itu, barulah dia terasa yang hidup ini sangat singkat. Maut akan datang bila-bila masa sahaja. Dia tunduk. Rasa takut menyelinap dalam hatinya.
Wajah setiap orang dari mereka kelihatan resah dan bimbang serta takut walaupun mereka telah selamat kini. Belum ada perkembangan terbaru yang diterima. Baru sebentar tadi Pengarah Sai Per mengumumkan tentang mesyuarat yang akan berlangsung sejam lagi.
Manakala Prof. Ikmal sekadar diam dan menunggu.



Krimna terus meluncur laju. Namun, Hisyam berjaya hampir-hampir memintasnya setelah berhempas pulas meningkatkan kelajuan.
Krimna tersenyum lebar. Dia memperlahankan kelajuannya. Dia sedar musuhnya itu lebih kuat darinya tetapi dia lebih laju dan pantas dalam gerakan meluncur di udara. Dia tetap akan kalah sekiranya bertembung dengan musuhnya itu. Walau bagaimana pun, hanya satu caranya sahaja untuk menewaskan musuh itu.
Dia perlukan tenaga yang lebih besar. Dia mesti mendapatkan tenaga itu dari Matahari. Namun, dengan keadaan dan kekuatan yang ada sekarang ini tentulah sukar baginya untuk menghisap ‘Intipati Matahari’. Dia pasti akan musnah sekiranya berdegil untuk melakukannya. Dia perlu bersabar. Dia perlu menunggu masa yang sesuai.
Tiba-tiba dia teringat tentang meteor yang ada di zaman itu sebaik sahaja dia mendapati tenaga yang dikenalinya wujud di lokasi yang sama iaitu di New York. Dan haluannya diubah ke arah timur. Dia mesti ke sana secepat mungkin dan menghisap tenaga itu. Dia sedar itu adalah meteor dirinya sendiri tetapi mungkin kerana pertembungan dalam terowong masa ketika musuhnya itu melanggar dinding masa itu telah menghasilkan dimensi lain dan mewujudkan tahun yang selari dengan tahun lalu.
Maka dengan itu dirinya berbentuk meteor itu terus wujud. Maknanya kini, dia berada di garisan tahun yang sama tetapi selari dengan tahun yang terbentuk akibat gangguan dalam terowong masa.
Akhirnya dia faham.
Hisyam melepasi Krimna dengan tangkas. Dalam sekelip mata dia sudah melakukan serangan maut. Krimna mengelak pantas. Minat Krimna untuk bertarung memang tinggi tetapi keadaan memaksa dia berundur buat seketika.
Hisyam semakin galak melakukan serangan bertubi-tubi. Dia tidak menyangka Krimna lebih licik darinya. Kegagalannya membaca karakter lawan menyebabkan dia bakal ditimpa masalah.
Hisyam terus melepaskan serangan bebola tenaga bertubi-tubi. Tanpa disedarinya Krimna bergerak pantas dan laju ke arahnya dan berhenti betul-betul di belakag Hisyam. Dengan sepenuh tenaga Krimna melepaskan satu tumbukan padu yang bertenaga tinggi. Hisyam tidak sempat mengelak. Belakang tubuhnya dijamah keras dengan tumbukan kuat Krimna itu. Hisyam terpelanting ke depan dengan kelajuan yang sukar digambarkan. Momentum tumbukan Krimna terlalu kuat padanya dalam keadaan kurang bersedia.
Tubuh Hisyam meluncur tanpa kawalan ke arah sebuah kapal tangki yang besar yang terletak tidak jauh dari kawasan itu. Satu dentuman memekakkan kedengaran. Kapal tangki yang merupakan kapal pengangkut
petroleum bersaiz besar dengan keberatannya mencapai 650,000 tan itu terbelah dua sebaik sahaja tubuh Hisyam yang terpelanting itu mengenai dinding kapal tersebut. Minyak petrol membuak-buak keluar dari pecahan dinding kapal dan ketika itu juga api yang mula membakar dari bahagian enjin kapal lantaran momentum pelanggaran itu merebak ke bahagian tangki. Permukaan air laut mula terbakar selain bahagian hadapan kapal tersebut telah dihurung api yang semakin tinggi. Hisyam bangkit segera. Dia menoleh sekilas ke arah kapal besar yang terbakar itu. Beberapa letupan turut kedengaran.
Kelihatan anak-anak kapal bertempiaran menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut yang membiru itu. Hisyam sedikit marah dengan apa yang berlaku. Tanpa membuang masa dia mengapungkan tubuhnya dan mula mengumpul tenaga lalu meluncur ke arah Krimna yang terapung di udara tidak jauh dari situ. Dengan kelajuan sepantas angin dia menghampiri Krimna yang sedang tersenyum sumbing.
Tanpa berlengah Krimna pantas bergerak ke samping dengan kelajuan yang tinggi lalu melancarkan serangan dari arah itu ke bahagian kiri tubuh Hisyam. Dan, keadaan demikian menyebabkan Hisyam terhempas ke dalam laut yang membiru dan berombak ganas itu. Krimna meluncur ke bawah untuk serangan seterusnya. Kali ini dia menggunakan keistimewaannya memanipulasikan sumber planet Bumi iaitu air dan suhu sejuk.
Hisyam terjunam ke dalam perut laut akibat momentum serangan Krimna yang sangat pantas dan kuat kali ini. Dan, tanpa disedarinya dalam buih laut yang bergelora akibat rempuhan tubuhnya itu Krimna meluru pantas ke arah Hisyam dan mengenakan satu serangan bersifat sejuk. Ini menyebabkan air laut di sekelilingnya membeku dengan cepat. Dalam beberapa saat sahaja Hisyam terperangkap dalam bongkah ais yang besar hasil dari serangan Krimna. Hisyam cuba melawan suhu sejuk yang melampaui takat beku itu.
Namun, malang baginya. Seluruh anggotanya menjadi beku dengan cepat. Hisyam diserang pereputan fros yang pantas. Namun Sistem C1G1 yang kebal dari segala suhu pantas pula mempertahankan kestabilan sel-sel Hisyam sehinggakan proses pereputan fros itu terhenti serta merta. Untuk memusnahkan bongkah ais yang besar itu memerlukan sedikit masa. Apatah lagi Sistem C1G1 memerlukan masa juga untuk mengaktifkan daya-pulihnya.
Krimna meluncur ke atas sebaik sahaja Hisyam terperangkap di dalam bongkah ais ciptaannya itu. Dia terus terbang ke arah timur tanpa mempedulikan Hisyam yang semakin tenggelam pelahan-lahan ke dasar Laut China Selatan itu secara pelahan-lahan. Dia tahu bongkah ais itu hanya dapat menahan Hisyam buat beberapa seketika.
Sama ada Hisyam mampu memusnahkan bongkah ais itu dengan cepat atau tidak, hal itu bergantung pada kemampuan Hisyam sendiri.



Dalam beberapa minit sahaja Krimna tiba di destinasinya. Meteor yang besar itu direnungnya. Dia sendiri rasa takjub apabila melihat bentuk meteor itu dan dia seakan-akan tidak percaya melihat dirinya sendiri dalam bentuk tersebut.
Dia menghampiri meteor itu. Pelahan-lahan dia melancarkan isyarat untuk membangunkan dirinya sendiri. Di dalam meteor itu wujud dirinya yang belum membentuk. Begitulah keadaan dirinya setelah melepasi Plutoscan di hujung sistem solar itu. Dia sendiri tidak menyangka lapisan itu mampu mengubah dirinya menjadi seperti itu. Namun, dia tidak kisah dan itu bukanlah masalah baginya.
“Bangunlah...” tuturnya pelahan.
Bongkah meteor itu pun berubah secara pelahan-lahan. Permukaannya yang kasar kehitaman itu mula menjadi lembik dan melekit. Cair seperti getah yang dilayur ke api. Ia menjadi cecair hitam buat beberapa saat dan akhirnya ia mula berubah menjadi kecil dan membentuk tubuh manusia seperti Krimna. Sama besar dengan bentuk tubuh Krimna.
Sekarang yang wujud dihadapannya adalah dirinya sendiri. ‘Krimna masa depan’ dan dia sendiri ‘Krimna masa lampau’. Krimna masa depan itu tercengang dengan kewujudan Krimna dihadapannya.
“Krimna?” suaranya bergema, agak rendah dan garau.
“Ya... Aku Krimna dan kau juga Krimna.” Terangnya kepada Krimna masa depan itu.
Krimna masa depan itu terdiam. Dia memikirkan sesuatu.
“Krimna bersatulah dengan aku... diri kau ini. Kita adalah sama. Aku masa lampau kau dan kau adalah masa depan aku!”
Krimna masa depan hanya dia memandang Krimna masa lampau.
“Tiada masa lagi... kita mesti bersatu. Musuh sedang menuju ke mari!”
Krimna ‘masa lampau’ menoleh sekilas ke arah barat, arah dia datang tadi. Krimna masa depan turut mengangguk pelahan. Mujurlah dia faham kehendak Krimna masa lampau itu. Krimna masa depan sebenarnya adalah dirinya sendiri. Cuma masa yang memisahkan mereka.
Pelahan-lahan Krimna masa depan berubah menjadi cecair hitam keperakkan yang lembik dan padu lalu mendekati Krimna masa lampau. Cecair hitam keperakkan itu berubah menjadi bentuk bulat sebesar kepala Krimna. Dan, secara pelahan-lahan Krimna menggapai cecair bulat itu dengan kedua belah tangannya. Satu cahaya bersama tenaga terpancar dari cecair itu. Ia mula meresap ke dalam tangannya sambil disaluti cahaya putih yang terang dan silau. Dari tangannya membawa ke kepala, tubuhnya dan hinggalah ke kedua pasang kakinya. Tubuh badan Krimna bersinar seketika. Cahaya terang itu juga semakin galak memancarkan cahaya. Kini tubuh badan Krimna kelihatan seperti matahari yang memancarkan cahayanya.
Terlalu terang dan menyilaukan pandangan.
Penduduk New York gempar dengan kehadiran cahaya terang yang menyinari bandaraya yang tinggal runtuhan-runtuhan bangunan itu.




2 JAM KEMUDIAN...


Bongkah ais gergasi itu terdampar di dasar laut yang gelap-pekat. Di dalamnya Hisyam sedang dipertahankan oleh Sistem C1G1 dari ancaman suhu melampaui takat beku itu. Hisyam pengsan ketika itu. Kini ia bergantung sepenuhnya kepada Sistem C1G1.

“SISTEM DAYA-PULIH SEMULA. DIAKTIFKAN”

Pemulihan semula diaktifkan dengan lebih pantas. Tenaga simpanannya di salurkan secara automatik. Ini menyebabkan tenaganya asalnya mencapai takat maksima. Sistem C1G1 mula beroperasi menghidupkan sel-sel yang reput dan mati. Pelahan-lahan dan satu demi satu sel-sel itu dihidupkan kembali. Melalui sistem C1G1, sel-sel itu diaktifkan sehingga ia mengeluarkan tenaga getarannya yang akhirnya beubah menjadi lidah-lidah elektrik.
Hisyam buka mata. Kesedarannya segera dipaut pantas. Sekeliling terasa sangat sejuk. Namun, getaran sel-selnya meyebabkan suhu sekeliling didapati berubah secara pelahan-lahan. Dia mendapati bongkah ais itu mula mencair. Suhu panas ketika itu memancar dari seluruh tubuhnya. Semakin lama semakin panas.
Lama-kelamaan ais di sekelilingnya mula terbakar dengan api yang marak membara. Dia mengaktifkan lapisan pelindungnya dan menggerahkan tenaga untuk memecahkan bongkah ais yang masih tebal walaupun api semakin membara membakar dinding ais itu.
Dalam satu dentuman yang memekakkan hasil tumbukan Hisyam bongkah ais itu berkecai menjadi serpihan-serpihan ais kecil. Dasar laut itu terang seketika akibat dari percikan api yang memusnahkan bongkah ais tersebut. Dengan pantas dia meluncur ke permukaan.
Air laut memercik ke atas sebaik sahaja Hisyam muncul di permukaan dan terapung seketika di udara. Dia mengimbas kawasan itu dengan sistem pengimbas, mengesan kedudukan Krimna. Dia pasti Krimna sedang menunggunya. Pertarungan mereka belum tamat. Semangatnya semakin berobar-kobar.
Setelah mengenal pasti kedudukan musuhnya. Hisyam meluncur ke arah itu dengan sepenuh tenaga. Kali ini dia tidak akan melepaskan Krimna. Sedikit sebanyak dia sudah tahu dan memahami Krimna. Kali ini dia yakin akan dapat memusnahkan Krimna dengan kemusnahan yang pasti.


Krimna mengorak senyum, sepertimana jangkaan sebelum ini, musuhnya itu sedang menuju ke arahnya dengan kelajuan yang cukup pantas.
Lebih pantas darinya.
Namun, sepantas mana pun musuhnya itu tetap bukan lawannya kini. Kini tenaganya sudah bertambah dua kali ganda selepas berasimilasi dengan dirinya, Krimna masa depan itu.
Dia sengaja memilih bandaraya New York yang tinggal hanya runtuhan bangunan-bangunan pencakar langit itu sebagai lokasi menunggu dan bertempur dengan musuhnya itu. Sebagai permulaan sebelum menghisap intipati matahari dia akan menewaskan musuh yang ditunggu-tunggunya sejak duhulu lagi itu. Baginya kepuasan hanya diperolehi dalam pertarungan itu yang pertama, yang kedua kepuasan diperolehi dari menghisap tenaga planet dan memusnahkannya.
Itu adalah kepuasan maksima baginya.
Di ufuk barat matahari memancar agak suram, seolah-olah tahu yang ia akan dihisap dan dimusnahkan oleh satu kuasa yang besar dan kuat darinya tidak lama lagi.
Krimna tersenyum ke arah matahari petang itu. Dia perlu enam bulan kiraan Bumi untuk menghisap tenaga matahari yang besar itu secara pelahan-lahan. Namun, buat masa ini dia perlu menghadapi musuhnya dahulu.
Dia merancang untuk menghisap tenaga Bumi yang tinggal sedikit itu untuk menguatkan dirinya selepas pertempuran dengan musuhnya. Ataupun dia akan musnahkan bumi ini dengan tenaga yang dia ada sekarang. Tapi itu terlalu mudah baginya. Dia hanya perlu memusnahkan pusat bumi dan ledakan magma itu akan meningkat 100 kali ganda dan akhirnya planet Bumi akan menjadi habuk angkasa dalam beberapa jam kemudian.
Penduduk-penduduk New York yang hidup melarat itu hanya memandang kehadiran Krimna dengan pandangan yang disaluti kehairanan. Ada juga kumpulan-kumpulan penduduk memerhati dari jauh dengan teropong. Nampaknya, mereka seolah-olah dapat mengagak sesuatu akan berlaku di situ.

BAB 14

Matahari merupakan bintang terdekat dengan bumi dengan jarak purata 149,680,000 kilometer (93,026,724 batu). Matahari dan sembilan buah planet membentuk sistem suria. Matahari mempunyai diameter 1,391,980 kilometer dengan suhu permukaan 5,500 °C dan suhu teras 15 juta °C. Matahari dikelaskan sebagai bintang kerdil jenis G. Cahaya daripada matahari memakan masa 8 minit untuk sampai ke bumi dan cahaya yang terang ini boleh mengakibatkan sesiapa yang memandang terus kepada matahari, menjadi buta.
Matahari merupakan satu bebola plasma dengan jisim sekitar 2 x 1030 kg. Untuk terus bersinar, matahari, yang terdiri daripada gas panas menukarkan unsur hidrogen kepada helium melalui tindak balas gabungan nuklear pada kadar 600 juta tan, dengan itu kehilangan empat juta tan jisim setiap saat. Matahari dipercayai terbentuk pada 5,000 juta tahun lalu. Kepadatan jisim matahari adalah 1.41 berbanding jisim air. Jumlah tenaga matahari yang sampai ke permukaan bumi dikenali sebagai pemalar solar menyamai 1.37 kilowatt semeter persegi setiap saat. Matahari berputar 25.04 hari bumi setiap putaran dan mempunyai graviti 27.9 kali graviti bumi. Terdapat julangan gas teramat panas yang boleh mencecah sehingga 100,000 kilometer ke angkasa.
Marakan matahari ini boleh mengganggu gelombang komunikasi seperti radio, tv dan radar di bumi dan mampu merosakkan satelit atau stesen angkasa yang tidak dilindungi. Matahari juga menghasilkan gelombang radio, gelombang ultra-ungu, sinar infra-merah, sinar-X, dan angin suria yang merebak keseluruh sistem suria. Bumi dilindungi daripada angin suria oleh medan magnetik bumi, sementara lapisan ozon pula melindungi bumi daripada sinaran ultraungu dan inframerah. Terdapat tompokan hitam yang wujud dari masa ke semasa pada matahari yang disebabkan oleh perbezaan suhu di permukaan matahari.
Tompokan hitam itu menandakan kawasan yang kurang panas berbanding kawasan lain dan mencecah keluasan melebihi saiz bumi. Kadang-kala peredaran bulan mengelilingi bumi menghalang sinaran matahari daripada sampai ke bumi, oleh itu mengakibatkan kejadian gerhana matahari berlaku.
Kalau matahari adalah tujuan sebenar Krimna. Maka dia memang bijak untuk mendapatkan tenaga. Hisyam tidak menyangka, rupa-rupanya Krimna membentuk meteor dan menghisap tenaga magnetik Bumi agar dia menjadi lebih kuat dan mampu menghisap intipati tenaga matahari yang sangat besar itu. Namun, dia hairan juga. Mengapa dia menunggu terlalu lama untuk menghisap kesemua tenaga Bumi sedangkan dia pernah menghisap tenaga sebuah planet sebelum ini. Malah, dia mampu menghisap tenaga Bumi dalam 3 bulan sahaja bagi planet yang sebesar itu.
Kalau Matahari dihisapnya tentu berlaku kemusnahan yang besar ke atas Sistem Solar. Matahari ialah pusat sistem. Sekiranya pusat sistem itu hancur atau tergendala walau sesaat pun nescaya seluruh planet yang ada akan berlanggar di antara satu sama lain. Oleh itu, walau dengan apa cara sekali pun dia mesti menghalang Krimna dari mencapai hajatnya itu.
Dia meningkatkan kelajuannya.
Hatinya berdebar-debar kini. Inilah kali pertama dia merasakannya. Mungkin benar seperti kata-kata Krimna. Dia ada ‘Sikap Insaniah’ dalam dirinya. Sebab itu Krimna menganggapnya sangat istimewa dan sanggup menunggu selama 2 tahun untuk bertembung dan beradu tenaga dengannya. Mungkin dia sedar dengan mengalahkan atau mungkin menghisap seluruh tubuhnya, Krimna fikir dirinya akan menjadi seperti manusia tulen.
Dia mahu buktikan kepada makhluk asing itu. Planet Bumi bukanlah tempatnya untuk melempiaskan hajat busuknya. Dia juga mahu buktikan bahawa penghuni di sistem solar ini bukanlah primitif lagi seperti anggapannya.
Drai apa yang dilihatnya. Krimna adalah mahkluk yang pintar. Bukan sahaja dari segi tamadun asalnya di sistem lain malah kemampuan Krimna yang boleh meniru sesuatu dengan mudah. Dia yakin Krimna telah mempelajari seluruh bahasa di dunia ini. Tidak pula dia menyangka makhluk asing itu memilih bahasa melayu sebagai bahasa perantara semasa menghadapinya.
Jauh dari sudut hatinya, dia kagum dengan kepintaran Krimna. Mungkin benar kalau ada orang mengatakan Krimna adalah lawan atau saingannya yang paling sengit. Apakah mungkin ada makhluk seperti Krimna itu pada masa akan datang? Getus hatinya.
Menurut apa yang dikatakan oleh Krimna. Musuhnya itu berasal dari sebuah sistem yang sangat maju tetapi meghadapi masalah sehingga menyebabkannya mencari sumber kekuatan dan tenaga untuk terus hidup.
Walau apapun, saat ini dia mesti menghapuskan Krimna walau dengan apa cara sekalipun. Sebarang kesilapan atau salah perkiraan akan menjadikan sistem solar ini sebagai galang gantinya. Dia tidak mahu hal-hal seperti itu berlaku kerana kecuaiannya. Dia tidak mahu apa yang berlaku sebentar tadi berulang ke atasnya. Dengan tenaga dan semangat juang yang meluap-luap dia terus meluncur dengan kelajuan maksima ke arah posisi Krimna.
Dia mahu mengakhiri segala yang telah dimulakannya.
Dia mahu Krimna hancur dan hilang buat selamanya.



Bilik Mesyuarat SC
HQ-2



Rakaman apa yang berlaku di Makmal V 3000, HQ–Laut China Selatan baru sahaja selesai dimainkan. Kini paparan itu diperbesarkan dan difokuskan pada gambar makhluk asing yang digelar Krimna itu.
Prof. Ikmal sekadar mendengar penerangan Presiden yang kemudiannya disusuli oleh Pengarah tertinggi HQ-2, Neo Sai Lo. Dia tidak mendengar sangat apa yang dikatakan oleh pengarah itu. Pandangannya tertancap pada fail berwarna hitam di hadapannya. Setiap orang yang berada di dalam bilik mesyuarat itu diberikan seorang satu. Di atas permukaan fail hitam itu tertera SAM C1G1 dengan huruf berwarna perak metalik diikuti di bawahnya satu kod palang atau kod bar juga berwarna putih dan akhir sekali di bawah kod bar itu terdapat ayat ‘Property of Suluken Corporation’. Ayat yang selalu dilihatnya di setiap barang-barang yang dimiliki Suluken Corporation.
Dia sebenarnya bimbang tentang keselamatan Hisyam. Dia tahu pendatang itu yang digelar Krimna itu sangat kuat berbanding Hisyam. Pengarah Sai Per di sebelahnya dan pengarah Neo Sai Lo, saling bertukar pendapat. Dia tidak mengendahkan sangat mereka itu. Dalam benaknya sekarang ini ialah keadaan Hisyam.
“Tuan Pengarah, di skrin!” Suara Presiden bergema.
Pengarah Neo Sai Lo menoleh ke arah skrin gergasi yang tersergam di hadapan meja mesyuarat itu diiuti oleh yang lain. Satu rakaman muncul di ruang udara New York. Kelihatan makhluk asing yang digelar Krimna itu sedang berinteraksi dengan ‘meteor’ yang sebesar padang bola sepak itu. Dalam rakaman itu mereka dapat mendengar perbualan Krimna dengan meteor besar yang mula berubah sedikit demi sedikit menjadi seperti bentuk Krimna.
Dan akhirnya Krimna yang kedua itu berubah pula menjadi bola hitam lalu bersatu dengan Krimna yang satu lagi dalam pancaran cahaya terang. Dan akhirnya, yang tinggal hanya satu ‘Krimna’ sahaja.
“Masing-masing terdiam dengan rakaman terbaru itu. Mereka tidak memahami situasi yang berlaku. Prof. Ikmal sendiri hairan.
“Prof. bukankah sepatutnya meteor itu tidak wujud lagi. SAM C1G1 sudah memusnahkan meteor itu, kan? Mengapa ia masih wujud?” Pengarah Sai Per bersuara. Keningnya berkerut seribu.
“Ya… Prof.?” Aizad pula bersuara.
Semua pegawai-pegawai tertinggi menoleh ke arah Prof. Ikmal. Meminta penjelasan.
Seketika tiada suara yang kedengaran. Masing-masing senyap dan menumpukan perhatian kepada Prof. Ikmal dan penjelasan yang bakal dikeluarkan. Prof. Ikmal akhirnya faham apa sebenarnya yang berlaku.
Secara teorinya, dia faham segalanya.
Ketika itu holografik utama memancarkan imej seseorang. Semua pengarah dan diikuti yang lain berdiri pantas sebagai tanda hormat. Prof. Ikmal terpinga-pinga dengan situasi baru itu. Kesunyian menguasai tatkala semua pegawai memberi hormat kepada imej itu.
“Arshazen…” Pengarah Sai Per bersuara pelahan dengan nada berbisik ke arah Prof. Ikmal.
“Salam sejahtera… semua.” Suara garau bergema.
Prof. Ikmal melihat seorang lelaki yang memakai topeng hitam yang menutup seluruh wajah. Hanya anak mata yang kelihatan hijau dan rambut yang panjang serta memutih jelas terdedah dan tampak jelas. Pemimpin Suluken Corporation itu segak memakai pakaian hitam jenis kot labuh paras lutut seperti pakaian Neo, hero dalam filem ‘The Matrix’ yang pernah ditayangkan beberapa tahun dahulu.
Bentuk tubuhnya agak tegap dan berisi. Suaranya kedengaran garau dan berwibawa. Karismanya sebagai pemimpin cukup terserlah ketika itu. Dia tidak pasti dengan kulit pemimpin itu kerana tiada satu pun yang terdedah selain tiga perkara tadi. Semuanya tertutup. Tangannya lengkap dengan sarung tangan hitam. Imej itu cukup jelas dan terang.
“Pengarah Sai Per, Neo Sai Lo dan semua yang ada… terima kasih kerana hadir dalam mesyuarat tergempar ini. Kita telah mendapat rakaman yang diterima dari Satelit Skywalker. Nampaknya musuh baru ini cukup kuat. Krimna ini mesti dihapuskan walau dengan apa cara sekalipun. Aku mahu penerangan yang detil buat masa ini.” Suara itu bergema dalam kesunyian bilik mesyuarat.
Prof. Ikmal berdehem dan seketika semua mata menoleh ke arahnya.
“Ya… Prof. Ikmal? Anda ada penerangan yang aku mahu?”
“Ada, Tuan Pemimpin...” jawabnya, berdehem sekali lagi dan sekilas dia memandang juga Pengarah Sai Per di sebelahnya.
“Apa yang saya fahami buat masa ini ialah Projek Janus telah berjaya dan misi kita untuk memusnahkan meteor itu juga berjaya. Malangnya, satu peristiwa berlaku di luar dugaan kita…” Prof. Ikmal diam seketika.
“Terangkan, Proffesor,” pinta Arshazen.
“Ini cuma kemungkinan… dari bentuk rupa Krimna dan juga rakaman sebentar tadi. Saya yakin meteor itu adalah Krimna sendiri. Hisyam berjaya memusnahkan meteor…”
“Hisyam?” Pengarah Sai Per, menoleh ke arah Prof. Ikmal. Wajahnya memancar kehairanan.
“Maafkan saya…” Prof. Ikmal menelan air liur. “SAM C1G1 berjaya memusnahkan meteor tersebut. Tetapi tidak sepenuhnya. Dengan apa yang berlaku di makmal, HQ. Krimna yang terbentuk dari meteor itu mengejar SAM C1G1 ke zaman kita melalui Gerbang Masa. Dan kini SAM C1G1 bertarung dengan Krimna. Apa yang kita saksikan sebentar tadi adalah pergabungan Krimna dengan meteor di zaman kita.”
“Prof… bukankah meteor itu sepatutnya sudah tidak wujud lagi selepas Krimna mengekori SAM C1G1 ke zaman kita?” Arshazen, pemimpin bertopeng merenung Prof. Ikmal.
“Hal ini bergantung dengan apa yang berlaku di terowong masa. Menurut Robert O’Neal sekiranya berlaku gangguan dalam terowong masa. Dilanggar atau tersentuh dinding masa. Maka, perubahan besar pada sejarah yang kita ubah di masa lalu tidak akan berubah. Dan, ini berlaku ke atas Krimna. Mungkin SAM C1G1 atau Krimna terlanggar dinding terowong masa dan menyebabkan semua itu berlaku semasa pulang semula dari zaman lampau ke zaman kita.” Terang Prof. Ikmal, panjang lebar.
Pemimpin tertinggi itu mengangguk.
“Apa tujuan Krimna sebenarnya? Prof. Ikmal?” Pengarah Neo Sai Lo pula bersuara, ada nada ketidaksabaran dalam suara seraknya itu.
Sekilas dia menoleh ke arah Pengarah Neo Sai Lo.
Suasana hening dan penuh debaran. Masing-masing menunggu penjelasan Prif. Ikmal.
“Matahari…” Prof. Ikmal menelan air liur. “Matahari adalah pusat sistem kita dan tenaga yang banyak dilepaskan setiap saat dari bintang itu. Itulah tujuan Krimna. Krimna menghisap tenaga Bumi iaitu medan magnetik Bumi agar ia dapat melindungi dirinya dari kepanasan Matahari. Bumi kita ini dilindungi dari angin suria dengan lapisan medan magnetik Bumi sebagai pelindung utama planet Bumi.”
Semua hadirin terdiam.masing-masing resah dan terkejut dengan informasi itu. Mereka semua tidak menyangka teori itu. Satu teori dan satu rumusan yang cukup menggerunkan semua orang.
“Baiklah… aku mahu rakaman terbaru dan aku mahu laporan dari semasa ke semasa. Bagus professor! Aku mahu Krimna itu dihapuskan. Buat sesuatu agar kita dapat selamatkan Bumi kita. Pastikan SAM C1G1 berjaya.” Suara Pemimpin Utama Suluken Corporation itu bergema setelah diam seketika. Dari nada suaranya juga terselit nada gentar dengan apa yang bakal berlaku.
Imej holografik pemimpin itu hilang pelahan-lahan setelah arahan terakhir itu dilafazkannya.
Semua hadirin mengangguk, faham.




BAB 15

Skrin gergasi itu menayangkan babak pertarungan di antara C1G1 dan Krimna di Laut China Selatan. Rakaman itu dipancarkan dari Satelit Greendream secara langsung. Dan ketika itu doktor wanita yang menjadi orang dalamnya di HQ milik Suluken Corporation sedang menerangkan dan menghantar rakaman apa yang berlaku di makmal V 3000, HQ- Laut China Selatan.
Selesai tayangan itu. Paparan holografik doktor wanita itu muncul dalam skala yang lebih besar menggantikan tayangan rakaman sebentar tadi.
“Siapa Krimna?” soal Lex, ingin tahunya memuncak.
“Kami tidak ada maklumat yang terbaru lagi. Satelit kami sedang memantau dan merakam perkembangan seterusnya. Yang jelasnya, Krimna adalah makhluk asing yang berasa dari sebuah sistem di luar sistem solar kita. Kita tidak ada maklumat yang pasti dan jelas mengenai motif Krimna datang ke Bumi. Menurut ‘pakar’ kami. Krimna mensasarkan Matahari sebagai sasaran utamanya selepas Bumi.” Terang doktor wanita itu lagi.
Lex terdiam. Otaknya ligat berfikir. Rambutnya yang memutih itu kelihatan menjadikannya seperti orang tua dalam umurnya yang menjangkau 30-an itu. Dia terfikir tentang Krimna yang diperkatakan itu. ‘Bolehkah Krimna dijadikan kawan dan dipergunakannya untuk menakluk dunia ini?’Getus hatinya.
Kekuatan Krimna itu sangat unik dan menakjubkan. Dia sangat berminat dengan kekuatan seperti itu. C1G1 bukanlah tandingan Krimna dari pandangannya. Dia mesti cari kelemahan Krimna agar rancangannya itu dapat dilaksanakan.
Tetapi bagaimana ? Persoalan ini terus memberat di fikirannya. Setakat ini, dia atau pun pihak doktor wanita itu masih tidak tahu kelemahan Krimna.
Minatnya pada C1G1 mulai lupus. Kini dia sangat berminat dengan ‘musuh’ baru itu. Tidak dinafikan sejak ketibaan metoer itu harapannya untuk menguasai dunia terbantut. Apatah lagi, Suluken Corporation yang dipimpin oleh musuh ketatnya itu seolah-olah mengambil-alih teraju pemerintahan dunia. Kini, Suluken Corporation semakin berpengaruh.
Sindiket Greendream yang diterajuinya bukanlah lawan pada Arshazen dan Suluken Corporation. Dia cukup sedar, Suluken Corporation banyak sumbangannya pada dunia. Pelaburan Suluken Corporation di serata dunia dalam pelbagai bidang dari telekomunikasi, pengangkutan, perkhidmatan keselamatan, Bio-Senjata, Khidmat Sokongan tentera khas. Namakan saja. Semuanya ada kaitan dengan Suluken Corporation. Hatta, White House pun dengar khabar berada di bawah pengaruh Suluken Corporation.
Kekuatan dan pengaruh Suluken Corporation membuatnya irihati. Dia tidak puas hati dan ingin mengatasinya. Apatah lagi, pemimpin utamanya adalah musuh ketat yang tidak pernah dikenali wajahnya. Pemimpin Suluken Corporation selalu bertopeng apabila muncul di perjumpaan-perjumpaan khas yang diadakan setahun sekali.
Maklumat itulah yang diperolehinya dari orang dalamnya. Setakat ini tiada sesiapa pun tahu wajah sebenar Arshazen, pemimpin Suluken Corporation itu. Ternyata kebijaksanaan pemimpin itu sukar diduga. Tidak adil baginya, selama ini pemimpin itu tahu wajahnya. Tetapi dia sendiri tidak tahu wajah sebenar pemimpin itu. Inilah yang menyukarkannya untuk bertindak. Kalaulah dia tahu wajah sebenar Arshazen. Tentu mudah baginya untuk menghapuskannya.
Rakaman itu diulang berkali-kali. Dia mahu mencari kelemahan Krimna. Doktor wanita di skrin yang telah dikecilkan tetingkapnya tidak dipedulikan kewujudannya. Minatnya terhadap C1G1 dan Doktor wanita itu sudah semakin menipis. Dia lebih menumpukan perhatiannya pada rakaman itu.
Tumpuannya hanya pada Krimna itu.
“Lex?”
“Doktor… Kita sambung kemudian. Bila ada perkembangan terbaru. Segera beritahu aku.”
“Baiklah, Lex… Hmmm, bagaimana dengan C1G1?”
“ Lupakan itu buat sementara. Krimna lebih menarik!” Balas Lex dengan senyuman yang penuh dengan makna yang tersirat.
Doktor wanita itu angguk. Mendadak imej holografiknya hilang sebaik sahaja Lex menamatkan perbualan mereka.
Lex terus menumpukan perhatiannya pada rakaman pertarungan itu.



“Apa yang buat kau ambil masa yang lama?” Krimna tersenyum.
Hisyam rasa tersindir. Dia turun pelahan-lahan. Sebaik sahaja kakinya menjejak runtuhan bangunan Empire itu Krimna bangun dan melangkah pelahan-lahan ke arah hisyam berdiri. Hisyam sekadar memerhatikan gerak-geri musuh dengan penuh waspada. Hisyam tidak mahu tertipu lagi dengan helah yang sama.
Krimna tersenyum. Ternyata kemampuan Hisyam diremehkannya.
“Bagaimana dengan kesejukan ais yang aku hadiahkan pada kau?”
“Aku tak suka… “ jawab Hisyam. “ Kalau kau mahu… aku kembalikannya pada kau. Bagaimana?” Sindir Hisyam.
“Ha! Ha! Ha!” Krimna gelak besar. Seumur hidupnya tidak pernah lagi tersuah dengan musuh seperti Hisyam. Walaupun ketika di Planet Uranmus dulu. Tiada satu pun musuhnya yang mampu berkata-kata di hadapannya. Apatah lagi membalas balik dengan sindiran.
“Aku suka kau…” Krimna bersuara tenang. “Tetapi, sayangnya... kau mesti mati hari ini juga!”
Hisyam merenung tajam. “ Silakanlah… itu pun kalau kau mampu!”
Nada mencabar Hisyam itu membuatkan wajah Krimna berubah riak.
“Mengapa? Takut?” Hisyam mengapi-apikannya. Dia mahu musuhnya itu dirasuk kemarahan dan dia sendiri perlu tenang dan waspada. Dia mahu tenang dan gembira semasa bertempur sepertimana dia memandu jet pejuang dalam keadaan gembira dan tenang suatu ketika dulu.
“Emosi dan taktik peperangan diaktifkan.” Visualnya dihiasi perkataan itu. Ternyata C1G1 sudah pun mematuhi arahannya untuk mengatifkan segala persediaan pertempuran dengan Krimna. Dia bersyukur dengan sistem C1G1 dia selamat dari ‘Pereputan Fros’ dalam bongkah ais itu. Dia harap kali ini berjaya mematahkan serangan Krimna dengan cara itu sekiranya Krimna masih mahu menggunakan taktik itu kembali.
Krimna mula rasa marah. Kulitnya yang hitam keperakkan itu berubah-ubah. Menandakan amarahnya semakin memuncak. Hisyam dapat membaca perubahan itu dengan mudah. Dia terus menenangkan hatinya agar mudah untuknya menyerang dan mengambil kesempatan terbaik yang mungkin diperolehinya kelak. Dia harus mengira dan mengagak dengan tepat dan tangkas. Dia tidak mahu kalah lagi kali ini. Cukuplah sekali kekalahan yang hampir membawa maut kepadanya itu.
Krimna menghilang tiba-tiba. Hisyam tersentak. Ternyata gerakan musuh itu semakin pantas berbanding dengan pertembungan pertama mereka. Dan, pada masa yang sama, Krimna muncul di belakangnya dan melepaskan tumbukan kembar yang pantas dan berat. Tepat di belakang Hisyam.
Hisyam terdorong ke depan namun pantas pula di berpusing kembali sambil melepaskan bebola tenaga. Keadaan itu memang dijangka oleh Krimna. Lalu dengan gerakan yang sama Krimna menghilang lagi.
Hisyam mengimbangi dirinya. Matanya liar memerhati sekeliling. Kelibat Krimna tidak kelihatan buat beberapa saat. Bebola tenaga yang dilepaskannya tadi merempuh runtuhan bangunan di hadapannya. Mujurlah di sana tiada penghuni lagi. Bangunan itu telah ditinggalkan sejak meteor itu mula melancarkan serangan pertama dulu.
Nalurinya tiba-tiba mengarahkan dia mendongak dan ketika itu Krimna muncul di sana sambil melepaskan tendangan layang yang pantas ke arah kepalanya.
Tepat!
Hisyam terperosok ke dalam runtuhan bangunan Empire. Sehinggalah berada di tingkat tiga bangunan itu barulah momentumnya berhenti. Walaupun, dia sempat menahan tenaga serangan Krimna itu dengan menyalurkan tenaganya pada kepala namun kekuatan serangan itu di luar jangkaanya. Dia terpelanting ke bawah dan merempuhi setiap tingkat bangunan itu dari tingkat tertinggi runtuhan bangunan Empire itu.
Bergegar seketika kawasan tersebut. Beberapa orang yang meneropong sejak dari tadi terpegun dengan kejadian itu. Mereka tidak pernah menyangka kejadian itu berlaku. Terutamanya pertempuran yang cukup menggerunkan itu meletus.
Ada di antara mereka yang tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu secepat yang mungkin. Ternyata mereka tidak ingin terlibat atau menjadi mangsa pertempuran yang dirasakan sangat menakjubkan itu. Pertarungan seorang lelaki dengan makhluk asing yang berkulit hitam keperakkan itu.
Roberto Bagio membidik senjata jenis ‘Sniperhigh-model G11’ itu ke arah makhluk asing tersebut. Dia dapat melihat dengan mudah melalui teropong tunggal berkuasa tinggi yang terpasang kemas pada senjata itu. Roberto Bagio merupakan seorang penembak tepat yang suatu ketika dulu pernah berkhidmat dalam pasukan tentera darat U.S.
Dia memang benci dengan musuh-musuhnya namun dia menjadi lebih benci apabila mendapati makhluk asing membunuh manusia seperti apa yang disaksikannya ketika itu. Dia terus mengintai sasaran. Peluruyang digunakannya kali ini adalah sejenis peluru yang mampu meletup seperti bom tangan apabila berada di dalam sasaran. Dia yakin dengan peluru istimewanya itu. Makhluk asing itu pasti hancur berkecai.
Roberto bagio sejak dari tadi menyaksikan situasi tersebut. Sejak mula meteor itu berubah dan mengeluarkan cahaya dan sejak mula makhluk asing hitam keperakkan itu muncul di ruang udara New York. Dia melihat ‘lembaga’ itu menyerap meteor tersebut dan memancarkan cahaya terang. Kemudian dia melihat lembaga itu terbang dan berdiri di atas bangunan Empire itu sambil merenung ke arah barat.
Sejak itu dia berasa curiga dan hairan. Rasa ingin tahunya memuncak. Dia bertahan di tempatnya dan menanti apa yang akan berlaku kelak. Dia yakin ada sesuatu yang bakal berlaku. Dari aksi makhluk asing tersebut dia tahu dan yakin ada sesuatu yang pasti berlaku, yang mungkin mengubah senario dunia.
Hisyam ketika itu bangun tanpa mengalami sedikit pun kecederaan. Entah mengapa sejak dia terlepas dari maut akibat terperangkap dalam bongkah ais yang sejuk di dasar Laut China Selatan beberapa jam yang lepas, tenaganya semakin kuat. Dia tahu kemampuan C1G1 dari segi peningkatan kuasa dan tenaga adalah fleksibel. Tetapi dia tidak menduga sepantas itu kemampuan tubuh biologinya menerima kemajuan Sistem C1G1 dan pengaruhnya.
Hisyam lalu meluncur laju ke atas kembali. Dia sempat mengimbas kawasan itu dan mendapati ada beberapa orang yang sedang memerhatikan mereka. Hal ini, membuatkannya terfikir sejenak tentang keselamatan orang awam. Dia perlu melindungi mereka dari ancaman. Itu adalah sebahagian tugas utamanya. Namun, buat masa ini dia sedang menghadapi Krimna, makhluk cerdas dari luar sistem solar itu. Tiada sebarangan langkah keselamatan yang mampu dan sempat dilaksanakannya buat masa ini. Pertempuran dengan Krimna lebih mustahak.
Ketika itu, satu serangan mengenainya. Krimna muncul dengan kepantasan yang menakjubkan. Hisyam terpelanting keluar dari bangunan itu. Serpihan tembok simen dan besi berterbangan terhempas ke bumi bersama-samanya. Hisyam bangun lagi, mendongak ke atas. Dia melompat kembali dan mula meluncur namun dia terhenti tiba-tiba. Dia menoleh ke bawah. Krimna sedang memegang kakinya sambil tersenyum.
Hisyam bertindak pantas menarik kakinya namun genggaman Krimna lebih kuat dan dengan sekali hayun sahaja Hisyam terpelanting ke arah bangunan yang terletak 50 meter di sebelah kiri bangunan Empire itu. Bangunan tersebut bergegar dan satu lubang besar terbentuk di tingkat satu hingga tingkat tiga.
Mujurlah dia sempat mengurangkan momentum serangan Krimna. Kalau tidak, pasti seluruh bangunan itu akan runtuh dan pasti penduduk yang bersembunyi di dalam bangunan tersebut akan terkorban sia-sia.
Satu bola tenaga berdengung pantas ke arahnya. Dia segera mengelak sebelum bebola tenaga itu mengenainya. Satu letupan bergema kuat. Bangunan itu roboh menyembah bumi bersama api yang menjulang tinggi. Penduduk New York yang berlindung dalam bangunan tersebut terkorban sia-sia.
Krimna mengorak senyum. Puas kerana mempermain-mainkan Hisyam. Hisyam menjadi sedikit marah namun dikawal hati itu. Biar ketenangannya tidak tergugat. Dia tidak mahu kalah sebelum bertarung dengan serius. Setakat ini dia belum membalas lagi. Dia sengaja mendedahkan dirinya dengan serangan Krimna itu agar kelemahan lawannya itu dapat diketahui sebelum memulakan serangan.
“Mengapa kau nampak lemah sangat? Aku tak sangka. Takkan ais yang aku bagi untuk kau itu membuatkan tenaga kau habis diguna?” ujar Krimna, sinis.
Hisyam bangun. Renungannya tajam.
“Aku suka pandangan kau… He he he…” Krimna terus mengapi-apikan Hisyam. Hisyam menjadi semakin tenang menghadapi musuhnya itu.
Hal inilah yang membuatkan Krimna terasa tercabar. Ketenangan Hisyam menghadapinya membuatkannya rasa sedikit marah dan hampa.
Hisyam mendekati Krimna pelahan-lahan. Aksinya itu membuatkan Krimna terpaku. Dia tidak mampu membaca apa yang bakal Hisyam lakukan ketika itu. Namun, dirasakannya jantungnya itu berdebar-debar. Dia merenung Hisyam dalam resah.
Renungan Hisyam semakin tajam dan kelihatan lebih bersemangat.
Renungan itulah yang mendebarkannya. Renungan yang sama ketika menghadapi musuh ketatnya di Planet Arrakish.
Renungan Amon Ra!



BAB 16

Rakaman terbaru diterima. Prof. Ikmal bergegas ke bilik utama. Aizad di belakangnya turut sama berlari-lari anak bersama mereka yang lain.
Di skrin itu kelihatan Metropolis New York. Hisyam dan Krimna sedang bertempur sengit. Ternyata pertarungan itu banyak memihak pada Krimna. Prof. Ikmal semakin risau dan bimbang. Namun, dia cuba bertenang.
Aizad menoleh ke arahnya. “ Bagaimana ni, Prof.?”
Prof. Ikmal tunduk. Kerisauannya sengaja disembunyikan. Soalan itu tidak dijawab. Dia beredar ke tempat duduknya setelah tayangan rakaman terbaru itu selesai.


Lex membuka kotak besi yang berukuran kecil itu. Skrin kecil yang berfungsi sebagai pengimbas kod laluan semula–jadi kelihatan bercahaya. Lex menekapkan ibu jarinya di atas permukaan skrin. Bunyi ‘beep’ kedengaran. Pada masa yang sama penutup kotak kecil itu terbuka.
Di dalamnya terdapat satu alat yang kecil yang dipasang pada sebentuk cincin bermata ungu jenis permata kecubung. Lex mencapai cincin itu lalu memakainya. Cincin yang mengandungi pemancar yang berfungsi untuk melumpuhkan SAM C1G1 itu ditatap dan dibelek-belek seketika. Otaknya terbayang C1G1. Wajah yang seiras pelakon Bollywood, Salman Khan itu memang dikenalinya. Bentuk badan pun tegap macam pelakon itu.
Cuma bezanya, Pelakon itu berbangsa Hindustan manakala C1G1 adalah Organisma Sibernatik menggunakan tubuh orang melayu. Lelaki berbangsa melayu, Kolonel Hisyam, salah seorang juruterbang jet pejuang yang berkhidmat cemerlang dan pegawai terbaik dalam TUDM. Dia dilaporkan terkorban semasa serangan ke atas meteor itu di ruang udara New York, 2 tahun lepas.
Tidak lama lagi C1G1 akan berada di dalam genggamannya. Dia tidak pasti apakah keputusan pertempuran C1G1 dengan Krimna. Yang nyatanya, siapa yang kalah jadi abu dan menang jadi arang. Dan yang menang itu akan jadi miliknya walupun sudah jadi arang. Dia yakin ‘arang’ itu akan dapat dibina semula. Teknologi klon yang digunakannya akan membantunya dalam rancangan itu. Sama ada C1G1 atau Krimna. Pasti salah seorang dari mereka akan diklonkan. Dan hasratnya untuk menguasai dunia pasti akan tercapai dengan mudah!

*UNTUK MENGETAHUI KISAH SETERUSNYA... DAPATKAN NOVEL INI DI KARNADYA.COM.MY DENGAN HARGA RM 14.90 SAHAJA!


Tiada ulasan: